Home Politik Sayap Pas berani – Pemuda UMNO Kedah

Sayap Pas berani – Pemuda UMNO Kedah

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kedah memuji langkah berani ketiga-tiga sayap Pas iaitu Ulama, Pemuda dan Muslimat yang berani memberi pandangan kepada pucuk pimpinan untuk menamatkan tahaluf siasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pemuda UMNO Kedah percaya Pas masih lagi mempunyai sokongan dan mampu menggerakkan parti dengan lebih baik walaupun tidak mempunyai pertalian atau hubungan politik dengan parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang menyifatkan tindakan yang bertepatan dengan prinsip Pas itu berkata, keputusan itu pada masa yang sama bermakna Pas tidak lagi perlu menanggung beban kepincangan politik di Selangor mahu pun di Pulau Pinang yang semakin meruncing dan bermasalah.

“Pemuda UMNO Kedah percaya kegoyahan kemahiran kepimpinan dan prinsip perjuangan yang tidak menentu PPBM akan membawa keruntuhan parti tersebut, yang mana sudah banyak kawasan sedang dibubarkan akibat ahli-ahli hilang kepercayaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Kedah ingin membuka pintu ‘muzakarah’ bersama Pemuda Pas sekiranya ada perkara dan isu yang memerlukan persetujuan demi kepentingan ‘ummah’.

Pemuda UMNO Kedah percaya kedua-dua entiti iaitu Pas dan UMNO sudah boleh melalui suasana kematangan politik yang menyakinkan untuk mengadakan perbincangan dan muzakarah walaupun mempunyai pandangan politik dan prinsip yang berbeza.

Pemuda UMNO Kedah bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan PPBM sebuah parti ‘celaru’ tanpa hala tujuan.

Ini kerana, katanya, PPBM adalah parti yang berasaskan dendam dan sama sekali bukan alternatif yang tepat untuk orang Melayu.

Pemuda UMNO percaya PPBM adalah parti yang semata-mata mahu ‘menumpang’ selepas melihat kekalutan di dalam UMNO dan Barisan Nasional. – MalaysiaGazette