Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan Pengarah Urusan Sime Darby Property Berhad, Datuk Jauhari Hamidi sambil diperhatikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, (dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (kanan) dan Pengerusi Eksekutif Brunsfield Development Sendirian Berhad, Tan Sri Gan Thian Leong (kiri) selepas selesai Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Pembangunan Malaysian Vision Valley (MVV) di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Program pembangunan bersama yang dikenali sebagai Malaysia Vision Valley (MVV) yang akan dibangunkan di Negeri Sembilan bakal menjana pelaburan kira-kira RM290 bilion disamping mewujudkan sebanyak 1.38 juta peluang pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata projek ini merupakan satu projek yang dirangka untuk melonjak pembangunan negara dan ianya akan menjadi sebahagian daripada Greater Kuala Lumpur di bawah Zon Potensi Pembangunan Dalam Rancangan Fizikal Negara.

“Perancangan MVV dijangka mampu menarik pelaburan lebih daripada RM290 bilion.

“Selain itu, ia dijangka mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan baharu,” kata Najib semasa menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Sime Darby Property Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Brunsfield Development Sdn Bhd di sini hari ini.

Projek MVV ini meliputi kawasan seluas 153,000 hektar yang merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson.

MoU ditandatangani Pengarah Urusan Sime Darby, Datuk Jauhari Hamidi; Pengarah Urusan Brunsfield, Tan Sri Gan Thian Leong; dan Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Menurut Najib, projek MVV merupakan satu pembangunan yang terancang dan beliau akan memastikan semua lapisan masyarakat menikmati faedah daripada projek ini.

“MVV akan menyediakan perumahan mampu milik dengan anggaran kawasan terlibat dari 1,000 ekar bagi maksud ini.

“Selain itu, MVV juga akan menyediakan kawasan bagi kemudahan awam dan rekreasi dengan kawasan hijau melebihi 1,000 ekar,” katanya lagi.

Projek ini juga akan mempunyai hub pengangkutan bersepadu berteraskan perkhidmatan High Speed Rail di Labu yang akan menghubungkan MVV dengan KLIA, Bandar Malaysia dan Singapura.

Pembangunan MVV akan diterajui pihak swasta dan disokong oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sembilan.

“Dalam first rolling plan Rancangan Malaysia Kesebelas sejumlah RM560 juta telah diluluskan bagi pembangunan sistem perhubungan jalan raya di kawasan MVV.

“Beberapa projek lain sedang dalam pertimbangan seperti rangkaian lebuhraya serta jaringan bersepadu perkhidmatan rel bagi menghubungkan ke kawasan sekitar serta KLIA,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan pembangunan MVV sangat dialu-alukan dan ia akan memberi limpahan rahmat kepada penduduk tempatan khususnya.

“Ini adalah satu projek yang baik dan akan memberi manfaat serta keuntungan kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Penduduk tempatan juga akan merasai kesan daripada pembangunan ini kelak,” kata Mohamad selepas selesai menyaksikan majlis MoU bersama Najib. – MalaysiaGazette