KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyifatkan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM3,100 sebagai keterlaluan dan tidak seimbang dengan keadaan ekonomi serta perniagaan semasa.
Presiden FMM, Datuk Jacob Lee Chor Kok berkata, kenaikan sebanyak RM1,400 atau 82.4 peratus itu tidak boleh dilihat secara berasingan daripada pertumbuhan produktiviti, kemampuan perniagaan, daya saing Malaysia, inflasi, peluang pekerjaan dan kesannya terhadap keseluruhan struktur gaji.
Menurutnya, kenaikan itu juga belum pernah berlaku dalam sejarah pelaksanaan gaji minimum berkanun di Malaysia sejak 2013.
“Peningkatan sehingga RM3,100 secara serta-merta akan menjadi kejutan besar kepada pasaran buruh dan struktur kos perniagaan, sedangkan kadar RM1,700 hanya dilaksanakan sepenuhnya kepada semua majikan sejak Ogos 2025 dan perniagaan masih menyesuaikan diri dengan kesannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini MTUC mencadangkan gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan seharusnya dijadikan antara rujukan dalam menetapkan kadar minimum baharu.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata cadangan itu dianggap munasabah dalam keadaan semasa mengambil kira peningkatan kos sara hidup, inflasi, harga makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas yang semakin meningkat.
“Kadar gaji minimum dimulakan dengan RM900 pada 2013 dan secara berperingkat dinaikkan sehingga RM1,700 pada 2014. Elemen produktiviti, inflasi, gaji penengah telah diambil kira semasa menentukan gaji minimum setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di negara ini sudah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap warga tempatan sebagai sebahagian daripada komitmen menjayakan Ekonomi Madani.
Mengulas lanjut, FMM berkata, cadangan RM3,100 juga hampir menyamai gaji bulanan median RM3,167 yang diterima pekerja sektor formal pada Disember 2025.
Katanya, keadaan itu berpotensi menyebabkan struktur gaji dalam banyak syarikat menjadi terlalu rapat apabila majikan terpaksa menyemak semula gaji operator, penyelia, juruteknik, pekerja mahir dan kumpulan pekerja lain bagi mengekalkan perbezaan gaji berdasarkan kemahiran, pengalaman, prestasi dan tanggungjawab.
Menurut FMM, keadaan itu dijangka memberi kesan tidak seimbang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri berintensifkan buruh yang kebanyakannya beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil dan mempunyai keupayaan terhad untuk memindahkan peningkatan kos kepada pengguna.
Tambah beliau, kenaikan kos buruh secara mendadak boleh menjejaskan daya maju perniagaan, mengurangkan pelaburan dan pengembangan, mempercepatkan pemindahan atau penyumberan luar operasi serta mengurangkan peluang pekerjaan, khususnya pekerjaan peringkat permulaan.
Pada masa sama, ia boleh menyumbang kepada peningkatan harga apabila perniagaan cuba mendapatkan semula sebahagian daripada kos tambahan.
FMM turut mengingatkan, prestasi ekonomi dan produktiviti Malaysia yang semakin baik tidak bermakna semua sektor dan syarikat mempunyai kemampuan kewangan yang sama untuk menyerap kenaikan gaji sebanyak 82.4 peratus.
Katanya, perniagaan ketika ini turut berdepan peningkatan kos tenaga dan input, cukai serta kos pematuhan, ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan global, persaingan serantau yang sengit serta permintaan pasaran yang tidak sekata.
Dalam aspek perbandingan serantau, Jacob berkata, gaji minimum Vietnam pada 2026 berada antara kira-kira RM570 hingga RM820 sebulan, Thailand pula antara RM1,080 hingga RM1,280, manakala gaji minimum wilayah di Indonesia pula berbeza mengikut lokasi, dengan kira-kira RM1,390 di Jakarta.
“Dalam konteks serantau itu, cadangan gaji minimum RM3,100 adalah lebih dua kali ganda paras gaji minimum di banyak lokasi pembuatan pesaing di ASEAN.
“Jurang yang besar itu, jika tidak disokong peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai yang setara, boleh menjejaskan daya saing kos Malaysia, khususnya dalam aktiviti pembuatan berintensifkan buruh dan yang bersaing di pasaran antarabangsa,” tambah beliau.
Sehubungan itu, FMM menggesa Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) menjalankan penilaian menyeluruh mengikut sektor, termasuk kesan langsung dan tidak langsung terhadap kos gaji bagi industri serta syarikat berdasarkan saiz masing-masing.
Katanya, FMM juga mahu semakan gaji minimum kekal dalam proses tiga pihak MPGN dan berasaskan bukti objektif serta rundingan bermakna antara majikan dan pekerja.
Antara faktor yang perlu dipertimbangkan ialah kos sara hidup, inflasi, gaji median, produktiviti buruh, kadar pengangguran, keadaan pekerjaan, prestasi ekonomi dan sektor, kemampuan kewangan majikan serta daya saing antarabangsa Malaysia.
FMM berpandangan tempoh yang mencukupi juga perlu diberikan bagi menilai sepenuhnya kesan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebelum sebarang kenaikan besar dipertimbangkan.
“Jika bukti menunjukkan keperluan untuk pelarasan lanjut, FMM mahu kenaikan itu dibuat secara sederhana, berperingkat dan boleh dijangka, dengan notis awal yang mencukupi supaya perniagaan dapat merancang, meningkatkan produktiviti dan menyusun semula operasi,” tambah beliau lagi.
FMM turut mencadangkan peningkatan gaji disokong melalui peningkatan kemahiran, laluan kerjaya yang tersusun dan sistem imbuhan berasaskan produktiviti.
Menurutnya, syarikat yang mencatat prestasi baik boleh menyalurkan manfaat kepada pekerja melalui bonus, insentif dan peningkatan gaji yang mengambil kira produktiviti, kemahiran serta sumbangan individu, berbanding hanya bergantung kepada kenaikan besar gaji minimum berkanun.
Dalam pada itu, FMM menggesa kerajaan menangani keadaan ekonomi dan perniagaan bagi membolehkan majikan membayar gaji lebih tinggi secara mampan.
Menerusi cadangan Belanjawan 2027, FMM meminta lebih banyak ruang fiskal diberikan kepada syarikat produktif, khususnya PKS, untuk melabur dalam automasi, pembuatan pintar, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan tenaga kerja serta aktiviti bernilai tinggi.
FMM berkata, matlamatnya adalah untuk mewujudkan kitaran positif apabila keuntungan terkumpul yang lebih tinggi membolehkan pelaburan produktif dipertingkatkan, sekali gus meningkatkan produktiviti, prestasi perniagaan dan gaji serta mewujudkan pekerjaan yang lebih berkemahiran dan bernilai tinggi.
“Peningkatan gaji yang tidak disokong peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai yang sepadan berisiko meningkatkan harga serta melemahkan daya saing tanpa memberikan peningkatan kuasa beli sebenar pekerja secara mampan.
“FMM menyokong sepenuhnya matlamat Malaysia untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pekerja. Namun, perbezaan antara gaji minimum berkanun sebagai paras asas dengan aspirasi gaji kehidupan perlu diiktiraf,” katanya.
Menurut FMM, laluan mampan ke arah gaji lebih baik adalah melalui peningkatan produktiviti, kemahiran, pelaburan, inovasi dan pertumbuhan perniagaan yang menguntungkan. – MalaysiaGazette
















