AMSTERDAM – Ajax Amsterdam kini boleh memasang impian ke final selepas  mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Olympique Lyonnais pada aksi pertama separuh akhir Liga Europa, awal pagi tadi.

Bertrand Traore menjadi wira kelab Belanda itu apabila meledak gawang lawan dua kali selain jaringan Kasper Dolberg dan Amin Younes.

Penyerang Burkina Faso yang dipinjam dari Chelsea itu meletak tuan rumah di depan Ajax seawal minit ke-25 diikuti jaringan kedua menerusi bintang muda Denmark, Dolberg sembilan minit selepas itu.

Bersambung di babak kedua,  Younes menambah derita pasukan pelawat menerusi gol ketiga Ajax pada minit ke-49 sebelum Mathieu Valbuena merapatkan jurang buat wakil Perancis, pada minit ke-66.

Namun pada minit ke-71, pemain Burkina Faso yang dipinjam daripada Chelsea itu  sekali lagi meledak untuk melengkapkan kemenangan bergaya Ajax sekali gus memastikan juara empat kali itu berada di landasan tepat untuk melangkah ke pentas akhir.

Kali terakhir Ajax beraksi di final peringkat Eropah adalah pada Liga Juara-Juara 1996 ketika tewas kepada Juventus menerusi sepakan penalti. – MalaysiaGazette