Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS)
IPOH – Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) terpaksa ditutup selama 24 jam kerana disyaki berlaku tanah mendap di landasan sejak petang semalam.

Menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini, bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan, landasan itu ditutup bermula 6.40 petang semalam.

“Semasa pemeriksaan, kami mengesan terdapat kecemasan di landasan disebabkan oleh tanah mendap itu. Pasukan teknikal kami segera dikerahkan ke lokasi untuk penilaian awal.

“Semua syarikat penerbangan telah dimaklumkan mengenai penutupan ini dan sebanyak 12 penerbangan daripada Malindo Air, Tigerair dan Firefly akan terjejas,” kata MAHB dalam kenyataan menerusi laman Twitter.

Justeru, MAHB menasihatkan penumpang supaya menyemak jadual penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing.

“Kami kesal atas sebarang kesulitan yang timbul dan maklumat lanjut akan diberikan sebaik sahaja penilaian penuh dilakukan dan kerja-kerja pembaikan selesai,” tambahnya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast