Penulis buku, Afyan Mat Rawi menunjukkan buku “Tersontot Di Pintu Shorga” yang ditulisnya sendiri ketika ditemui semasa Pesta Buku Antarabangsa KL di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pejuang anti scammer, Afyan Mat Rawi mengambil inisiatif mengeluarkan sebuah buku indie dalam usahanya memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak terpengaruh dengan skim cepat kaya yang semakin berleluasa masa kini.

Menggunakan penulisan secara santai, Afyan menghasilkan sebuah buku berjudul Tersontot Di Pintu Shorga bagi berkongsi pengalamannya  ‘melawan’ scammer disamping mendidik ilmu kewangan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dengan individu yang memberi tawaran indah khabar daripada rupa.

“Saya menulis buku ini dengan harapan ini memberi kesedaran kepada orang ramai tentang skim cepat kaya yang semakin banyak masa ini dan mendidik masyarakat tentang ilmu kewangan yang perlu dikuasai mereka untuk mengelak daripada ditipu,” kata Afyan yang juga seorang penasihat kewangan takaful semasa ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC di sini semalam.

Dalam buku tersebut, Afyan menceritakan pengalaman kali pertamanya melawan scammer yang bermula dengan diskusi mengenai satu skim yang dikenali Infinity Downline dan sejak daripada itu beliau mula membongkar skim-skim yang membuat tawaran palsu kononnnya dapat memberikan kekayaan sekelip mata menerusi pelaburan yang tidak masuk akal.

Beliau juga pernah dimaki dan dituduh dengki kononnya tidak senang melihat orang lain kaya walhal pendedahan yang dibuat bertujuan untuk mengelak lebih ramai orang ditipu oleh skim-skim cepat kaya.

“Semasa saya membongkar skim-skim cepat kaya ini, mula-mula saya mendapat kecaman dan caci-maki.

“Sebagai contoh, dalam melawan skim Alfafa ini, salah seorang pengasasnya Norscammer membawa pengikutnya ke Mekah dan berdoa depan Kaabah untuk menghancurkan saya. Siap dengan doa qunut nazilah.

“Tapi lihat apa berlaku hari ini, ramai yang tertipu dan tidak ada satu rumah siap seperti dijanjikan beliau,” kata beliau merujuk kepada skim rumah banglo murah yang diperkenalkan Alfafa.

Mengenai tajuk buku tersebut, Afyan menjelaskan, ia mungkin sedikit kontroversi namun idea untuk menggunakan judul tersebut sebenarnya tercetus daripada slogan satu skim pelaburan scam emas, Tok Belagak yang pernah popular satu ketika dahulu.

“Tersontot membawa maksud mengalami keperitan, kesusahan, kena tipu, kena scam dan seumpamanya. Perkataan sontot membawa maksud yang paling tepat bagi menggambarkan gabungan situasi yang disebutkan tadi.

“Shorga pula ia memang disengajakan. Ia menggambarkan syurga khayalan,” terang Afyan.

Buku “Tersontot Di Pintu Shorga” yang ditulis Afyan Mat Rawi boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa KL di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2017.
Buku “Tersontot Di Pintu Shorga” yang ditulis Afyan Mat Rawi boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa KL di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2017.

Menurutnya, penulisan santai dipilihnya bagi memudahkan orang ramai memahami dengan mudah tentang aktiviti skim cepat kaya ini dan sekiranya istilan kewangan digunakan ia mungkin terlalu teknikal untuk difahami.

“Saya guna pendekatan dalam bentuk penceritaan, jalan cerita yang mudah difahami tidak guna terma-terma kewangan yang pelik untuk memudahkan orang ramai faham.

“Dengan kaedah ini, orang ramai mungkin mudah dapat mengetahui skim-skim yang benar dan menipu,” ujarnya.

Dalam buku tersebut, Afyan juga menyelitkan pengalaman apabila ahli keluarganya juga terjebak dalam skim penipuan sehingga ada antara mereka yang tidak berpuas hati dengan beliau.

Buku Tersontot Di Pintu Shorga dijual pada harga RM30 dan ia diterbikan oleh penerbit Puteh Press.

“Selepas berjaya hasilkan buku ini, saya bersemangat untuk menulis lagi buku disamping dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang penipuan yang semakin berleluasa sekarang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

“Norscammer” muncul kembali, guna masjid cari mangsa