Sharifah Saron (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat bagi meminta pemilik premis memberikan notis mahkamah serta deposit sekiranya mahu mereka mengosongkan premis tersebut.

GEORGE TOWN – Seorang usahawan mini market sekali lagi berdepan situasi dipaksa mengosongkan premis oleh pemiliknya tanpa memulangkan wang deposit.

Sharifah Saron, 59, yang menjalankan perniagaan di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan itu mendakwa perniagaan yang diuruskan bersama ahli keluarganya itu diganggu buat kali kedua.

Jelas, mereka telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut memandangkan pemilik premis berkenaan enggan memulang wang deposit mereka meskipun tempoh perjanjian sewa selama dua tahun sepatutnya tamat Ogos 2025.

“Memang kami (keluarga) sewa premis ini dengan kadar RM6,000 sebulan dan dalam tempoh tertentu kami menyatakan hasrat mahu membeli premis itu dan pemiliknya setuju untuk menjualnya pada harga RM1.8 juta.

“Sementara menunggu proses pinjaman bank, wang berjumlah RM200,000 telah dibayar sebagai deposit pembelian namun pada Februari lalu pemilik meminta saya kosongkan premis dengan alasan tidak munasabah selain memaklumkan bangunan itu adakan disewakan kepada orang lain.

“Timbul pertikaian apabila pemilik itu enggan memulangkan deposit sewa serta pembelian yang diberikan sebelum ini selain meminta kami keluar tanpa notis mahkamah,” katanya hari ini.

Tambah wanita itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut memandangkan ada pihak dipercayai dihantar untuk mengganggu perniagaan mereka.

“Kami tidak tahu apa punca pemilik premis bersikap sedemikian selain bimbang terpaksa berdepan kerugian ratusan ribu ringgit akibat perniagaan terjejas serta wang deposit yang diberikan sebelum ini turut tidak dikembalikan.

“Kami bukan tidak mahu kosongkan premis tapi kami minta notis mahkamah agar wang deposit yang diberikan kepada pemilik premis sebelum ini dikembalikan,”katanya.

MalaysiaGazette pada 15 April lalu melaporkan,  usahawan mini market mendakwa menanggung kerugian puluhan ribuan ringgit akibat dipaksa mengosongkan premis oleh pemiliknya atas alasan tak munasabah.

Nasrine Farhana Majumder, 34, mendakwa dia menyewa premis milik seorang wanita tempatan pada kadar RM6,000 sebulan bagi tempoh dua tahun bermula Ogos 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast