Penuntut Matrikulasi Kepala Batas maut terkena renjatan elektrik.

KEPALA BATAS – Seorang penuntut perempuan Kolej Matrikulasi Kepala Batas di sini maut dipercayai terkena renjatan elektrik di bilik asramanya dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Siti Nor Manisya Amer Prem Kumar, 19, yang merupakan penuntut jurusan Sains di kolej berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan-rakannya di dalam bilik asramanya.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB) oleh pihak pengurusan kolej namun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Norsiah Shaari, 53, sukar menerima kejadian menimpa anaknya itu memandangkan mereka baru sahaja bertemu kira-kira dua jam sebelum kejadian.

Menurutnya, dia dan suami serta dua lagi anaknya bertemu Siti Nor Manisya di kolej berkenaan untuk membawa pulang barang anaknya itu yang akan tamat pengajian di kolej berkenaan pada Selasa ini.

“Sebelum kami pulang, dia bersungguh-sungguh mengajak kami makan bersama kerana mahu belanja dan itulah pertemuan terakhir kami dengannya sebelum pulang ke rumah kira-kira pukul 8 malam.

“Walaupun sangat sedih, namun kami sekeluarga pasrah dan menerima ujian ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HKB malam tadi.

Menurut Norsiah, dia sehingga kini tidak mengetahui punca sebenar kematian anak keduanya itu dan masih menunggu laporan bedah siasat serta laporan polis.

“Setakat yang saya diberitahu, Siti Nor Manisya terkena renjatan elektrik pada bahagian jarinya yang tembus ke bahagian jari lain.

“Tetapi kami sekeluarga masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian menimpa Siti Nor Manisya,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah Sit Nor Manisya dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, Pulau Pinang selepas solat zuhur hari ini. – MalaysiaGazette