KUALA LUMPUR  – Peminat muzik Korea di Malaysia jangan lupa untuk datang menggegarkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 23 Mei ini sempena Konsert I-SEOUL-U.

Konsert itu bakal menghimpunkan artis pujaan ramai, YeSung yang dikenali ramai sebagai salah seorang anggota kumpulan band lelaki K-pop, Super Junior.

Baru-baru ini, YeSung melancarkan album solo keduanya berjudul Spring Falling.

Kemeriahan konsert itu akan turut digegarkan dengan persembahan salah satu kumpulan K-pop wanita terhangat, Red Velvet dan NCT 127 iaitu subunit kedua kumpulan band lelaki NCT.

Yang pasti, persembahan konsert selama dua jam ini menjanjikan aksi penuh bertenaga khas buat peminat fanatik mereka.

Penyanyi rap tempatan, Altimet dan trio pop, De Fam akan memulakan aksi pembukaan pada malam itu.

Sempena konsert gilang gemilang itu juga, penaja konsert iaitu Seoul Metropolitan Government akan menganjurkan pentas khas berkonsepkan Korea di Pavilion Kuala Lumpur untuk mempromosikan Seoul sebagai destinasi utama pelancong pada hari sama.

Peminat Korea boleh mengambil kesempatan ini dengan mengunjungi Pavilion dan menikmati segalanya mengenai Korea terutamanya makanan halal Korea, terjunan bebas melalui pengalaman maya, tarian K-pop dan banyak lagi aktiviti yang menyeronokkan.

Masuk adalah percuma bagi kedua-dua acara namun peminat perlu menebus tiket untuk Konsert I-SEOUL-U bermula 11 Mei ini.

Sebarang maklumat lanjut mengenai penebusan tiket, boleh layari www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian +603 9222 8811. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast