Polis mengepung lelaki yang menjadikan seorang wanita menjadi tebusannya.

TAWAU – Penjenayah yang menjadikan seorang wanita sebagai tebusan di Kota Kinabalu malam tadi direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Lelaki itu direman bagi siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 307 kanun yang sama kerana cubaan membunuh.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din yang mengesahkan penahanan lanjut lelaki asing tanpa dokumen berkata, dia juga didapati positif dadah ketika ditahan.

Lelaki itu ditahan selepas menjadikan seorang wanita tebusan selama dua jam.

“Kita cuba menggunakan pelbagai cara untuk membebaskan tebusan dalam keadaan selamat dan pada masa sama dapat menangkap suspek,” katanya di sini.

Suspek dikatakan cuba melakukan rompakan di sebuah rumah di Jalan Daman tetapi gagal selepas menyedari kehadiran polis.

Lelaki itu yang cuba melarikan diri kemudian ke rumah sebelah dan ternampak mangsa berada di luar lalu menjadikan dia tebusan.

Suspek telah membawa wanita itu keluar dari kawasan rumah berkenaan sejauh 1.5 kilometer.

Wanita itu akhirnya berjaya diselamat selepas seorang anggota polis wanita menyamar kakitangan perubatan membantu mangsa sebelum dapat mendekati suspek.

Ramli berkata, wanita yang diberi rawatan sebagai pesakit luar selepas berjaya diselamatkan masih lagi trauma. – MalaysiaGazette