SALAHUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Perang mulut antara Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub berterusan tanpa sebarang penyelesaian.

Terbaharu, Salahuddin menyifatkan Pas masih lagi menagih kasih di dalam pentadbiran Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali.

Biarpun hubungan antara Pas dan PKR kini tinggal nyawa-nyawa ikan, PAN melihat Pas masih tehegeh-hegeh untuk mejalinkan kerjasama dengan kerajaan Selangor bagi mengekalkan exco mereka di dalam tampuk pemerintahan negeri itu.

“Bagi saya, Pas yang masih terhegeh-hegeh lagi untuk menagih kasih lagi bersama PKR. (Ini kerana), dalam Muktamar Pas baru-baru ini telah membuat keputusan, iaitu Pas telah bercerai dengan PKR.

“Jadi, apa yang Tuan Ibrahim nak tunggu lagi (setelah keputusan yang dibuat oleh Muktamar Pas),” katanya memetik laporan sebuah akhbar hari ini.

Kenyataan itu dizahirkan Salahuddin selepas rakan sejawatnya itu mengatakan PAN sebagai parti yang tidak bermaruah apabila meminta Azmin supaya merombak pentadbiran negeri itu.

Kata Tuan Ibrahim, wakil PAN yang ada sekarang meraih kerusi di Selangor disebabkan oleh Pas yang bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

Sahaludidn berkata, hala tuju Pas ketika ini sudah berubah dan tidak lagi mencerminkan sebuah parti demokratik, seperti sebelum ini.

Ini kerana menurutnya, Pas tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh muktamarnya sendiri berhubung keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Keputusan (mengenai perihal tahalul siyasi di antara Pas dengan PKR) telah dibuat. Yang saya faham, Muktamar Pas adalah kuasa tertinggi dalam perlembagaan Pas.

“Jadi, adakah perlu menunggu keputusan Majlis Syura (berhubung perkara itu). Jadi, saya nampak parti ini bukannya parti yang demokratik,” katanya. -MalaysiaGazette.