Pegawai Petugas Khas Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Shafik Abdullah bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Sepang Circuit (F1) dan Tan Sri Mokzhani Mahathir kerana disyaki menyeleweng dana berbillion ringgit di Balai Polis Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 MEI 2017.

PETALING JAYA – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kekayaan luar biasa Tan Sri Mokhzani Mahathir yang didakwa hasil daripada penyelewengan dana ketika menerajui Sepang International Circuit (SIC).

Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Shafik Abdullah berkata, penyelewengan itu didakwa berlaku sejak tahun 1999 dan tahun lepas apabila anak Tun Dr. Mahathir Mohamad itu diarahkan meletakkan jawatan Pengerusi SIC.

“Sebanyak RM300 juta dibelanjakan untuk penganjuran sukan Formula 1 tetapi menurut Key Financial Information dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerugian hanya ditunjukkan pada tahun 2009 dan tahun 2015.

“Adakah ini membuktikan bahawa penyelewengan dana telah berlaku selama 13 tahun atau lebih? (Mungkin) sebahagian daripada kekayaan luar biasa Mokhzani berasal dari Grand Prix F1 sejak tahun 1999,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PMSP, Datuk Seri Ramesh Rao.

Sebelum ini, Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah mendakwa pihaknya mendapat maklumat bahawa Mokhzani memiliki sebanyak 18 buah kereta mewah yang bernilai RM36.2 juta.

Mengulas lanjut, Shafik juga berkata, berdasarkan Kunci Kira-Kira Kewangan SSM pada tahun 2014 mendapati rekod kewangan SIC amat mencurigakan nilai aset badan itu berkurangan hampir 50 peratus antara tahun 2014 dan tahun 2015.

“Tujuan laporan adalah untuk PDRM menyelidik kekayaan luar biasa dan menyoal bekas siasat bekas Pengerusi SIC dan pegawai-pegawai serta syarikat juruaudit atau juruakaunnya.

“Lebih baik sekiranya sebuah Suruhanjaya Siasat Diraja dapat ditubuhkan untuk menyelidik dan menyiasat buku rekod syarikat SIC atas kenyataan kewangan tidak konsisten yang dinyatakan oleh Key Financial Information dari SSM,” katanya lagi.- MalaysiaGazette