KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji diminta tidak membiarkan akaun tidak aktif tanpa transaksi melebihi tujuh tahun.

Ini kerana, akaun-akaun yang tiada transaksi dalam tempoh itu akan diklasifikan sebagai Akaun Tidak Aktif.

Sehubungan itu, pendeposit yang mempunyai akaun tidak aktif boleh mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan transaksi keluar atau masuk wang serta mengemas kini maklumat seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris di cawangan Tabung Haji, Bank Islam dan Bank Rakyat seluruh negara.

Tabung Haji berkata, pada masa ini ia merekodkan lebih 41,000 akaun pendeposit yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun.

“Tabung Haji akan memindahkan akaun-akaun ini ke kumpulan Akaun Tidak Aktif bermula 3 Jun ini, menyebabkan akaun tersebut tidak layak menerima sebarang hibah,” katanya.

Pendeposit yang kehilangan buku akaun boleh ke mana-mana cawangan Tabung Haji dengan membawa kad pengenalan bagi tujuan semakan, penggantian buku baharu dan kemas kini maklumat.

Katanya, pendeposit yang telah meninggal dunia, waris boleh membuat permohonan menuntut semula jumlah amaun yang diklasifikasikan sebagai Akaun Tidak Aktif dengan mengemukakan dokumen berkaitan.

Kemas kini akaun juga bagi memudahkan Tabung Haji menghubungi bakal-bakal haji serta mengelakkan kes surat tawaran haji tidak diterima kerana bertukar alamat. – MalaysiaGazette