Nurul Izzah Anwar
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa mengeluarkan sehingga 505 nama pengundi baharu daripada senarai daftar pemilih yang sah setiap hari, sama ada yang berdaftar dengan badan itu ataupun di pejabat pos di seluruh negara.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, pendedahan itu adalah hasil daripada risikan dan maklumat yang diperolehi pihaknya yang mana nama pengundi baharu akan dikeluarkan secara automatik sekiranya mereka tidak hadir pada hari bantahan.

“Esok pimpinan Pakatan Harapan akan mendedahkan penipuan yang dilakukan oleh SPR. Kita dapati beratus-ratus nama pengundi baharu sedang dikeluarkan.

“Ia berlaku di seluruh negara, salah satu kawasan terbabit ialah Parlimen Kapar di mana 505 nama dikeluarkan dalam masa sehari.

“Nama mereka dikeluarkan biasanya oleh wakil UMNO, mereka (pengundi) perlu hadir antara 8 pagi dan 5 pagi pada hari bantahan tersebut. Kalau pengundi tidak hadir, nama mereka secara automatik akan dipadam,” katanya pada sidang media di pekarangan ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan SPR berhubung isu larangan pemberian Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti-parti politik dalam pameran senarai pengundi terkini.

Perkara itu disahkan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada 29 April lalu bahawa arahan tersebut dikeluarkan kepada pengarah-pengarah pilihan raya negeri dan ia terpakai bukan sahaja kepada parti politik bahkan semua pihak yang berkepentingan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendakwa, pihaknya mempunyai bukti dan maklumat bahawa SPR bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional untuk menafikan kemenangan oleh wakil parti yang sah.

“SPR cuba menafikan hak pengundi untuk mengundi dalam PRU14 nanti, rakyat Malaysia dinafikan hak mereka untuk memilih siapa yang disukai.

“Pembuangan nama melibatkan lebih seratus pemilih baharu berlaku di semua tempat, khususnya kawasan pembangkang di Selangor,” dakwanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pendedahan bukti dakwaan salah guna kuasa SPR itu akan didedahkan dalam sidang media oleh pemimpin Pakatan Harapan esok di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.

“Khamis ini (lusa), pimpinan Pakatan Harapan akan mendedahkan penipuan yang dilakukan oleh SPR,” katanya. – MalaysiaGazette