KUALA LUMPUR – Pas yakin notis dan perintah yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada tarikh yang sama dengan pengumuman dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan diuruskan mengikut peruntukan undang-undang dan proses perundangan sewajarnya oleh parti Perikatan Nasional (PN).
Jelas parti itu, atas prinsip musyawarah dan akauntabiliti, mereka akan bersama-sama parti komponen dalam PN yang bertanggungjawab bagi meneliti dan mengambil segala langkah yang wajar.
“Ia mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ditetapkan terutamanya Akta Pertubuhan 1966 bagi memenuhi matlamat dan objektif penubuhan dan perjuangan PN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, Pas turut maklum tentang suatu notis tunjuk sebab dalam tempoh 30 hari bertarikh 22 September yang yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terhadap Perikatan Nasional (PN) menurut subseksyen 13 (2) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berikutan aduan daripada Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU).
“Pas turut mendapat maklum akan suatu perintah penggantungan serta merta terhadap PN oleh ROS, bertarikh 23 September 2026,” katanya.
Menurut RoS dalam satu kenyataan hari ini, perintah penggantungan itu dibuat mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) susulan notis dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.
Katanya, notis terbabit meminta PN memberi penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu kepada jabatan itu.
Sebelum ini, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu, antara lain berkaitan dakwaan parti itu tidak terbabit dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu status keanggotaannya dalam gabungan berkenaan. – MalaysiaGazette – MalaysiaGazette
















