Ahmad Zahid Hamidi

BANTING – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak stabil.

Katanya, asas ekonomi yang terbentuk daripada kestabilan politik serta tahap keselamaatan negara berjaya memberi keyakinan kepada pelabur luar dan tempatan.

“Kita lihat bahawa ekonomi negara kita ini, asasnya, fundamentalnya adalah kukuh. Faktor-faktor yang mempengaruhi kepada pertumbuhan ekonomi ini disebabkan oleh kestabilan politik yang ada keselamatan yang dijaga, begitu juga keyakinan yang wujud bukan sahaja di kalangan pelabur luar malah pelabur tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Model Motosikal dan Kenderaan Serba Guna Terbaru Demak dan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Antara DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd dan Qingdao Aucma IMP & EXP Co Ltd di DNC Asiatic Holdings di Olak Lempit hari ini.

Bagaimanapun, tambah Ahmad Zahid, kebencian terhadap pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, ada sesetengah penganalisis ekonomi yang memutar belit fakta ekonomi negara.

Tindakan tersebut katanya, sengaja dibuat bagi membina persepsi yang tidak baik kepada umum sehinggakan ada pelabur-pelabur sama ada daripada luar mahu pun pelabur tempatan yang terpengaruh dengan sentimen tersebut.

“Tetapi, kenapa ada analisis yang berbentuk negatif? Kerana, biar pun fundamentalnya kuat tetapi persepsi emosi yang dimainkan oleh para penganalisis ekonomi dan kewangan.

“Perasaan, emosi dan sentimen yang lemah ini adalah disebabkan oleh rasa kebencian yang terlalu mendalam terhadap kerajaan menyebabkan ada di kalangan yang terpengaruh dengannya,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid menggesa agar ahli-ahli korporat bersama-sama dengan pihak kerajaan memberi semula keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi negara.

“Maka tugas dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin korporat, harus bekerjasama dengan dengan kerajaan untuk memberi keyakinan kepada pelabur luar dan pelabur domestik bahawa asas ekonomi kita kukuh,” katanya lagi.- MalaysiaGazette