Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Skuad Puteri Peduli Pergerakan Puteri UMNO di Dewan Perdana Keramat Mall, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO hari ini mengharapkan agar calon daripada pergerakan itu ditambah pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Bagaimanapun menurut ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Puteri UMNO tidak memberikan sebarang tekanan kepada pucuk pimpinan samada menerima atau tidak cadangan itu di peringkat nasional.

“Diharapkan dengan semangat yang ditonjolkan oleh Puteri UMNO, dapat diterjemahkan dengan penambahan calon wanita muda sebagai calon pada PRU akan datang. Untuk setiap negeri, kita sudah ada calon.

“Saya harap calon daripada Puteri UMNO lebih daripada sembilan. Tapi dari segi pertemuan dengan Presiden UMNO, beliau bersetuju agar penghargaan kepada wanita diberikan, jadi itu terpulang kepada pucuk pimpinan untuk putuskan,” katanya selepas pelancaran Skuad Puteri Peduli di ibu negara hari ini.

Skuad Puteri Peduli dilancarkan Menteri Kewangan kedua yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Perdana, Keramat Mall.

Skuad ini akan digerakkan serentak di seluruh negara pada 3 Jun depan bagi aktiviti jelajah mendekati rakyat dengan memberikan bantuan makanan dan khidmat masyakat kepada golongan memerlukan.

“Kita tetapkan 3 Jun akan datang, untuk kita akan gerakkan skuad Puteri Peduli serentak di seluruh negara jam 10 pagi dari Sabah sampailah ke Perlis. Semua pergerakan Puteri akan bergerak untuk menyerahkan bantuan kepada rakyat termasuk di bahagian dan seluruh negeri.

Sejumlah 20,000 kit bantuan akan diserahkan kepada rakyat Malaysia dalam jelajah Puteri Peduli yang dilancarkan hari ini.

Pada PRU13 lalu, UMNO memperuntukkan sembilan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Sayap Puteri UMNO untuk ditandingi.

Puteri UMNO ketika itu dipimpin Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, Puteri UMNO sudah menyenaraikan calon-calon berpotensi untuk diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, ia perlu melalui tapisan di peringkat negeri sebelum ia dimuktamadkan di peringkat nasional, katanya.

“Memang Puteri UMNO ada nama-nama calon di setiap negeri cuma belum sempat bertemu dengan Pengerusi Perhubungan setiap negeri dan dalam jangka masa terdekat satu mesyuarat akan diadakan.

“Pastinya kalau dahulu sembilan ahli Puteri UMNO disenaraikan sebagai calon PRU-13, jadi kita harapkan kalau selepas ini jumlah calon daripada pergerakan Puteri UMNO bertambah. Ini terpulang kepada pucuk pimpinan parti.

“Diharapkan dengan semangat yang ditonjolkan oleh Puteri UMNO, dapat diterjemahkan dengan penambahan calon wanita muda sebagai calon pada PRU akan datang. Untuk setiap negeri, kita sudah ada calon,” katanya lagi.

Pada PRU13 lalu, BN meletakkan 22 calon wanita bagi kerusi Parlimen dan 49 orang di DUN. -MalaysiaGazette.