SHAH ALAM – UMNO Selangor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana memberi taraf kewarganegaraan tetap kepada pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik.
Sijil pengiktirafan itu yang disampaikan sendiri Raja Salman Abdul Aziz Al Saud itu secara tidak langsung menyedarkan golongan yang anti Zakir termasuk pihak tertentu di negara ini yang menganggap pendakwah dari India itu sebagai pengganas.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail ketika meluahkan kegembiraan itu berkata, ini juga memberi kesedaran kepada pihak Interpol yang sebelum ini mengeluarkan waran tangkap dari badan kehakiman India terhadap Zakir.
“Raja Salman telah menunjukkan kesungguhan dan ketegasannya berhubung keselamatan Dr. Zakir Naik. Terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini, hari ini.
Semalam, Portal Middle East Monitor melaporkan, Raja Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud telah campur tangan untuk menganugerahkan Dr. Zakir Naik kewarganegaraan bagi mengelak beliau daripada ditahan Interpol.
Ini susulan daripada tindakan Badan Investigasi Nasional India (NIA) menghantar permintaan penerbitan Red Notice kepada Interpol agar dapat menangkap Zakir di luar negara.
NIA mahu pendakwah itu dihadkan pergerakannya dalam Arab Saudi dan pasukan keselamatan menangkapnya.
Di Malaysia pula, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bersikap melampau apabila mendesak campur tangan Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan terhadap penceramah terkenal itu.
Malah Bendahari MIC, Datuk Vell Paari dengan kenyataan biadabnya mendakwa mahkamah India telah menuduh Zakir dan Yayasan Penyelidikan Islam menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Anak kepada bekas Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu itu dilaporkan berkata, siasatan kerajaan India mendedahkan rangkaian Zakir dengan ISIS dan pengaruh ajarannya ke atas suspek yang terlibat dalam serangan pengganas di Bangladesh menunjukkan penceramah itu satu ancaman kepada Malaysia.
Beliau juga turut menggesa Ketua Polis Negara menyiasat penyokong Zakir dan telah menuduh mereka telah menggunakan ajarannya sebagai panduan untuk menyebarkan ideologi ISIS dan merekrut ahli di negara ini. – MalaysiaGazette
Comments are closed.