KUALA LUMPUR – UMNO yang telah melalui detik paling sukar dalam sejarahnya kini sudah menyaksikan bibit-bibit kebangkitan dengan diterajui oleh golongan muda.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau yakin dengan kebangkitan UMNO kerana anak-anak muda ini bersemangat dan berjiwa UMNO.
Katanya, beliau berpeluang bertemu dengan 15 orang mahasiswa dari pelbagai universiti di Jordan yang berhasrat menubuhkan semula Kelab UMNO Jordan.
Begitu juga dengan sekumpulan mahasiswa di Beijing, China, yang turut menyatakan minat untuk menyertai UMNO dan difahamkan urusan pendaftaran mereka telahpun selesai baru-baru ini.
“Sekolah Patriotik UMNO yang ditubuhkan beberapa bulan lalu pula bakal menyaksikan graduan sulungnya tamat pengajian bersempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO kali ini.
“Menariknya, mereka juga terdiri daripada golongan muda yang berminat dan mahu mendalami perjuangan parti.
“Yang terbaharu, pada 9 Mei lalu, saya telah dijemput untuk bersama kira-kira 60 orang anak muda yang berhasrat menghidupkan kembali Putera UMNO.
“Kita mungkin bermula kecil. Tetapi dengan semangat dan sokongan akar umbi , khususnya buat anak-anak muda ini, Insya-Allah UMNO akan kembali kuat,” katanya sempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO yang ke-79, hari ini.
Wan Rosdy mengingatkan UMNO ialah wadah perjuangan yang telah diwariskan kepada generasinya oleh para pendahulu.
“Melihat perkembangan yang positif ini, saya optimis dan berasa lega terhadap masa hadapan parti kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















