Menteri Belia dan Sukan, Yb Khairy Jamaludddin bercakap pada sidang media Majlis Perasmian Larian Sukan Sea 2017 di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALM, 22 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada pusat latihan berbasikal trek negara perlu dipindahkan dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan akan ditentukan selepas perbincangan mengenainya dengan pelbagai pihak selesai.

 

Cadangan itu merupakan hasrat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tetapi kurang dipersetujui jaguh berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengenai cadangan PKBM itu akan dibuat oleh KBS menerusi perbincangan bersama pihak berkepentingan oleh kerana sebahagian besar kos latihan pelumba ditanggung kementerian itu.

“Walaupun latihan Azizulhasni dan beberapa pelumba trek basikal lain adalah secara peribadi namun, program itu di bawah tajaan KBS.

“Ada sebahagian pelumba juga dihantar menjalani latihan di London dan saya juga terbaca komen Azizulhasni mengenai cadangan (pemindahan) itu.

“Walaupun kita sudah ada Velodrom Nasional baharu di Nilai, namun ada faktor lain yang perlu dilihat juga iaitu menghantar menjalani latihan di Melbourne kerana jurulatih kita berpusat di sana (Melbourne),” katanya kepada pemberita di Bukit Jalil pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pendaftaran Larian Suka SEA KL2017 di Stadium Negara Bukit Jalil bersempana penganjuran temasya ke-29 di KL Ogos ini.

Dalam perkara berkaitan, Khairy juga berkata, selain jurulatih trek basikal yang berpusat di sana, latihan basikal di Melbourne bertaraf tinggi dan akan merugikan pelumba dan negara sekiranya dipindahkan ke Malaysia.

“Kalau kita pindah ke Malaysia tetapi tiada sistem pertandingan berkualiti tinggi, kita yang rugi nanti sedangkan pelumba yang menjalani latihan di Melbourne sudah ada persekitaran trek basikal yang matang dan terbaik dunia.

“Iia bukan sahaja soal Velodrom sahaja, sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu diteliti sebelum bertindak.

“Saya sedang berbincang dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai perancangan kita untuk masa depan pelumbab basikal kita,” ujarnya lagi.

Katanya, beliau telah melawat dan meninjau keadaan Velodrom Nilai semalam selepas penyerahan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jangan risau, kami sedang berbincang lebih teliti mengenai isu berkenaan dan keputusan muktamad akan dicapai dalam masa beberapa bulan lagi.

“Kita akan melihat segala pilihan lain yang ada, jika difikirkan adalah terbaik pusat latihan terus dikekalkan di Melbourne, maka keputusan tetap akan dibuat nanti,” tegasnya lagi.

Mohd Azizulhasni dalam kenyataan baru-baru ini menjelaskan, beliau sudah selesa menjalani latihan di Australia sejak 10 tahun lalu sambil menyifatkan fasiliti di sana antara terbaik di dunia selain jadual pertandingan yang sistematik. – MalaysiaGazette