PULAU PINANG – Belum berakhir isu penipuan telefon dan serangan Ransomware, kini timbul pula penipuan yang dilakukan dengan menggodam akaun Facebook untuk menipu kenalan kepada mangsa.
Nanyang Siang Pau melaporkan, penipuan itu menyebabkan lebih seratus orang di Pulau Pinang ditipu puluhan ribu ringgit hanya dalam sehari.
Akaun seorang pengguna Facebook di Bayan Baru umpamanya telah digodam sehingga menghantarkan pesanan secara automatik kepada orang lain.
“Saya hanya tahu akaun Facebook digodam apabila saya dimaklumkan oleh kawan dan saudara-mara lain, tetapi sudah terlewat kerana mereka telah ditipu,” kata mangsa itu.
Siasatan oleh pihak Facebook seterusnya mendapati akaun mangsa telah dikawal dari Pulau Bali di Indonesia.
Dalam penipuan yang dijalankan itu, sindiket akan menggodam akaun Facebook mangsa pertama dan menghantar pesanan yang meminta kenalannya untuk menghantarkan nombor telefon.
Mereka yang berbuat demikian seterusnya akan menerima empat digit nombor TAC melalui telefon.
Mangsa yang tidak mencuriga apa-apa dan mengikuti arahan penipu dengan menyalin nombor TAC dan membalas kepada akaun Facebook yang digodam akan dikenakan caj RM95 oleh syarikat telekomunikasi, seakan-akan telah melakukan pembelian secara dalam talian.
Potongan bayaran RM95 adalah melalui Codashop iaitu aplikasi yang membolehkan pengguna membeli-belah secara dalam talian dengan menggunakan akaun ketiga termasuk akaun dalam syarikat telekomunikasi.
Transaksi Codashop dijalankan secara mudah dengan menggunakan nombor telefon dan nombor TAC yang dihantar ke telefon.
Keadaan itu bermakna sindiket yang membeli-belah di Pulau Bali boleh memperdaya mangsa yang tidak tahu apa-apa di Malaysia untuk menjelaskan bayaran melalui Codashop.