PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kesal kenyataannya berhubung gesaan supaya wanita berpakaian comot untuk elak diganggu di khalayak umum telah dimanipulasi oleh pembangkang.
Beliau menjelaskan, berpakaian cantik hanya akan menarik perhatian orang ramai dan gesaannya itu hanya gurauan semata-mata dan tidak perlu diambil serius oleh kaum hawa.
“Saya melawak saja, kalau kita pakai cantik-cantik, dia akan tarik perhatian. Tapi ia jadi bahana kepada saya.
“Pembangkang manipulasi, pusing dan burukkan saya. Ini lah masalah pembangkang, dia tak tahu apa nak buat, dia cari pasal kalau saya terlepas cakap,” katanya semasa Program Siri Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Putrajaya, Ahmad Faisal Abdul Karim sebagai moderator.
Tengku Adnan dalam program sama di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, Khamis lalu dilaporkan menasihatkan seorang anggota Puteri Umno Wilayah Persekutuan yang bimbang dengan keselamatan dua anak gadisnya.
Bagaimanapun Tengku Adnan memberikan jawapan mengejutkan apabila beliau menggesa wanita terbabit memakai pakaian comot untuk mengelakkan diganggu susulan keselamatan tidak terjamin walaupun ada tempat letak kenderaan untuk wanita.
Perkara itu timbul selepas wanita berkenaan menimbulkan isu keselamatan dalam dialog itu susulan wujudnya banyak gangguan ke atas wanita, kes rompakan dan penculikan meskipun berada di pusat beli-belah. – MalaysiaGazette