GEORGE TOWN – Seorang pesara sebuah syarikat swasta kerugian RM680,000 akibat terpedaya penipuan pelaburan dalam talian menerusi aplikasi Silver Peak Capital.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, wanita berusia 60 tahun itu mula terjerat dengan penipuan tersebut selepas melihat iklan berkonsepkan jual beli saham di Facebook pada awal Februari lalu.
Jelasnya, mangsa kemudian menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum dia dijanjikan pulangan pelaburan antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh singkat.
“Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut sebelum diminta muat turun aplikasi Silver Peak CP bagi mendaftarkan keahlian serta melakukan pelaburan.
“Susulan itu, mangsa telah membuat tujuh transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM680,000.
“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas kehabisan wang sebelum diminta membayar komisen kepada syarikat tersebut untuk mengeluarkan keuntungan berjumlah RM11 juta seperti yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Hamzah, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semalam.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette















