Jeremy Joseph Christian,

OREGON – Seorang lelaki menikam dua penumpang di dalam tren Portland, Oregon, ketika mereka cuba untuk menghalang suspek menganggu dua wanita muda yang dipercayai beragama Islam.

Polis mengenal pasti penyerang sebagai Jeremy Joseph Christian, 35, sejurus dia ditahan selepas serangan yang berlaku pada petang Jumaat..

“Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada keganasan malam tadi adalah satu tindakan keganasan domestik atau jenayah kebencian,” kata Loren Cannon, ejen khas yang bertanggungjawab bagi Biro Penyiasatan Persekutuan di Oregon pada sidang akhbar pada hari Sabtu.

Biro itu turut menyertai siasatan dalam kes itu.

Christian mula menjerit penghinaan etnik dan agama apabila ternampak kedua-dua wanita muda, salah seorang daripada mereka memakai tudung kepala, kata Jabatan Polis Portland.

Tiga lelaki yang cuba meredakan keadaan telah ditikam.

Ricky John Best, 53, dari Happy Valley mati di tempat kejadian manakala Taliesin Myrddin Namkai Meche, 23, meninggal dunia di hospital

Mangsa ketiga, Micah David-Cole Fletcher, 21, masih menerima rawatan di hospital. Beliau dilaporkan mengalami kecederaan serius tetapi tidak menjejaskan nyawa.

Christian bakal berhadapan dengan dua pertuduhan membunuh dan tuduhan cubaan membunuh, ugutan dan memiliki senjata.

Beliau telah ditahan tanpa kebenaran ikat jamin. Dia bakal didakwa Selasa ini.

Dua wanita berkenaan yang telah meninggalkan tren sebelum polis tiba telah menghubungi polis. Bagaimanapun identiti mereka tidak didedahkan. – MalaysiaGazette