Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Persatuan Anak Jati Pulau Pinang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat kontroversi penjualan tanah rakyat di Lebuh Raya Peel, Georgetown, Pulau Pinang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang kepada pemaju swasta.

PULAU PINANG – Selepas seminggu memberi tempoh kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menjelaskan kontroversi penjualan tanah rakyat di Lebuh Raya Peel, Georgetown di sini, Persatuan Anak Jati Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusinya, Datuk Huan Cheng Guan berkata, beliau yang mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk negeri ini membuat laporan itu supaya siasatan dapat dijalankan berhubung transaksi penjualan tanah tersebut yang menimbulkan keraguan.

Antaranya, kata beliau, berkenaan perjanjian rundingan secara terus antara kerajaan negeri dengan syarikat swasta ke atas tanah tersebut membabitkan nilai RM156 juta.

Menurutnya, rundingan secara terus itu jelas melanggar amalan tender terbuka yang sepatutnya dipraktikkan kerajaan negeri apatah lagi membabitkan penjualan tanah milik rakyat.

“Daripada penilaian kita juga, akibat rundingan terus ini, kerajaan negeri kerugian hampir RM30 juta kerana tanah seluas tiga hektar itu dijual pada harga bawah pasaran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai beberapa lagi NGO membuat laporan itu di ibu pejabat SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Status tanah milik rakyat di Lebuh Raya Peel yang turut dikenali sebagai Peel Avenue itu menjadi kontroversi selepas beberapa NGO mendedahkan terdapat rancangan pembangunan di kawasan itu tetapi tidak didedahkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun selepas didesak, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengakui tanah itu telah diberi pajakan jangka panjang tanpa tender terbuka kepada syarikat pemaju bagi pembinaan hospital swasta.

Dalam pada itu, Cheng Guan turut berharap siasatan segera dapat dibuat SPRM berhubung penjualan tanah tersebut memandangkan ia tanah rakyat dan berkepentingan awam.

Ujarnya, siasatan SPRM juga penting dalam menentukan butiran terperinci perjanjian antara kerajaan negeri dengan pemaju swasta berkenaan memandangkan tidak banyak yang didedahkan kerajaan negeri ketika ini berhubung perkara tersebut.

“Perjanjian tanpa tender terbuka ini juga jelas membelakangkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang kononnya menjadi amalan Kerajaan DAP Pulau Pinang selama ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast