Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) bersalaman dan beramah bersama para tetamu ketika hadir pada Program 'One Belt One Road' di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2017
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan mengikut jejak langkah Amerika Syarikat dan Eropah yang melarang peranti elektronik antaranya iPad dibawa masuk ke ruang penumpang dalam pesawat.
Peraturan seumpama itu bukan protokol yang termaktub dan diperintahkan dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang diikuti Malaysia, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
“Kita mengikuti peraturan seperti yang diwajibkan dalam ICAO dan tidak perlu ikut langkah AS dan Eropah melarang peranti dalam pesawat.
“Pesawat di setiap negara mengikuti sensitiviti dan sekuriti negara itu, itu bukan cara kita,” katanya ketika ditanya pemberita di Wisma MCA di ibu negara.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Amerika Syarikat mengharamkan penumpang membawa iPad ke dalam ruang penumpang dalam semua penerbangan pesawat dari Timur Tengah ke negara itu berkuatkuasa pada Mac lalu.
Langkah itu turut diikuti oleh negara-negara di Eropah antaranya Britain yang turut melarang pembawaan peranti elektronik seperti iPad dalam pesawat sebagai langkah keselamatan mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Tindakan itu dikatakan menyusul selepas tercetus kebimbangan kumpulan militan pengganas Islamic State dan al-Qaeda berupaya menyembunyikan bom dalam peranti elektronik. – MalaysiaGazette