Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menunjukkan tapak projek TRX diiringi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd, Datuk Azmar Talib (tiga kanan) ketika mengadakan lawatan kerja kemajuan Projek TRX di tapak Tun Razak Exchange (TRX), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sangat berpuas hati dan gembira dengan progres projek pembangunan daerah kewangan, The Razak Exchange (TRX).

Setakat ini, kira-kira 70 peratus plot yang tersedia di TRX telah dikomersialkan dan syarikat pemaju utamanya, TRX City Sdn. Bhd. masih lagi menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak yang berminat untuk melabur atau menyewa di projek pembangunan terbaharu di Kuala Lumpur itu.

“Projek ini berjalan mengikut jadual. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk menjual baki plot-plot tersebut sebaliknya mahu memastikan ianya dimiliki oleh pelabur terbaik.

“Setakat ini ada beberapa institusi kewangan dan syarikat multinasional yang telah menyatakan minat untuk menyertai pembangunan di TRX,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan pembangunan projek TRX di Jalan Tun Razak dekat sini hari ini.

Menurut Najib, terdapat satu plot seluas 10 ekar yang akan dijadikan taman dan ini menambah nilai kepada projek pembangunan wilayah kewangan pertama di Malaysia itu.

“Ia bukan sahaja sebuah kawasan komersial tetapi juga sebuah gaya hidup di mana terdapat taman yang luas, hotel enam bintang, pusat kebudayaan dan hiburan,” tambahnya.

TRX juga menurut Najib, adalah sebuah pusat kewangan di rantau ini terutama apabila China Construction Bank (CCB) berhasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai habnya dan bakal membina sebuah menara utama di TRX. – MalaysiaGazette