Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi (dua kiri) bergambar dengan model kereta Honda Jazz terbaru sambil diiringi Presiden dan Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn. Bhd, Roslan Abdullah (kiri), Penolong Ketua Projek Besar Honda Jazz Terbaru, Yoshihiro Akiyama (dua kanan) dan Ketua Projek Honda Jazz Terbaru, Takahiro Noguchi (kanan) pada Majlis Pelancaran Honda Jazz Terbaru di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan satu-satunya negara, selani Jepun yang memperkenalkan versi Honda Jazz terbaharu, Honda Sport Hybrid i-DCD 2017 hari ini.

Model baharu itu dijual pada harga di bawah RM90,000 untuk pasaran Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn. Bhd., Katsuto Hayashi berkata, Jazz baharu ditawarkan dalam varian petrol dan hibrid yang akan diserahkan kepada pelanggan akhir bulan ini.

“Keputusan untuk melancarkan Sport Hybrid i-DCD di Malaysia memang selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia mempromosikan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

“Sebagai perintis yang memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia pada tahun 2004 dan menjadi pengeluar pertama menghasilkan kenderaan hibrid dalam negara pada 2012, kami komited menawarkan rangkaian kereta yang seronok untuk dipandu dan efisien dari segi penggunaan bahan api,” katanya pada majlis pelancarannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Jelas beliau, pelancaran itu membuktikan sokongan Honda terhadap hala tuju dan inisiatif kerajaan dalam industri automotif yang kompetitif.

Menerusi kereta baharu ini katanya, Honda Malaysia mensasarkan menjual 1,200 buah Jazz petrol sebulan dan 150 buah Jazz hibrid sebulan.

Ruang dalam Honda Jazz baharu. foto IQBAL BASRI, 06 JUN 2017

Kedua-dua Jazz hibrid dan petrol dijamin selama lima tahun dengan had perbatuan tanpa had.

Jazz hibrid ditawarkan pada harga RM87,500 di atas jalan termasuk insurans. Harga Jazz petrol pula ialah RM74,800 (varian S), RM81,000 (varian E da 88,400 (varian V).

“Penawaran harga yang strategik itu dilihat bakal menjadi faktor yang akan menarik pelanggan untuk membeli Jazz baharu, khususnya orang bujang atau yang telah berkahwin dan ingin menaiktaraf kenderaan nasional mereka selain golongan muda dan dewasa dengan harga di bawah RM90,000 yang diperkenalkan pertama kali,” ujarnya.

Jazz hibrid baharu yang diperkenalkan itu dilengkapi enjin 1.5 liter DOHC 1-VTEC baharu yang dipadankan dengan Dual-Cluch Transmission (DCT) 7 kelajuan.

Malah sistem hibrid baharu itu juga dikuasakan oleh sebuah bateri litium-ion yang dimiliki 1.5 kali kapasiti kuasa dan 50 kali lebih berkuasa walaupun saiznya -5.6 peratus lebih kompak berbanding sistem sebelum ini, Integrated Motor Assist (IMA).

Dalam mode sport apabila butang ‘S’ ditekan, Sport Hybrid 1-DCD menawarkan keluaran maksimum hasil gabungan enjin dan motor elektrik yang menyamai prestasi kuasa enjin 1.8liter.

Seorang model mengayakan dirinya pada Majlis Pelancaran Honda Jazz Terbaru di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 JUN 2017

Katanya Honda Jazz terbaharu ini juga menawarkan penjimatan penggunaan bahan api 4 liter untuk setiap 100 kilometer dengan motor elektrik dan enjin yang mengekalkan aspek janaan semua kuasa dan boleh dipandu dalam mod Kenderaan Elektrik (EV) sepenuhnya.

“Pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) kami ditubuhkan pada tahun 2013 di negara ini telah menguji dan memandu model ini sejak dua tahun lalu dengan jarak lebih 7,000 km di atas jalan berkeadaan berbeza seperti trafik sesak, laluan berliku dan berbukit curam,” ulasnya dalam sidang media selepas pelancarannya di ibu negara.

Jazz versi petrol diperkenalkan dalam tiga varian iaitu S,E dan V dengan penambahbaikan rim Aloidua tona untuk varian V, lampu nyalaan siang(DRL) LED serta kamera undur untuk varian E dan V, Jazz baharu turut dibangunkan dengan prinsip “Man Maximum, Machine Minimum”.

Tempahan dalam laman sesawang Honda kini dibuka selain pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 91 pengedar sah Honda di seluruh negara atau menghubungi talian tol percuma 1-800-88-2020 atau layari laman web www.honda.com.my untuk maklumat lebih lanjut mengenai produk baharu ini.- MalaysiaGazette