PUTRAJAYA, 7 Jun -- REMAN… Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa enam individu termasuk empat bergelar ‘Datuk’ bagi mendapatkan perintah reman membabitkan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan koperasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Mahkamah Majistret hari ini.?Enam individu itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.45 pagi kelihatan bergari dan menutup muka dengan baju lokap.?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA – Enam individu termasuk empat bergelar ‘Datuk’ direman lima hari untuk membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan koperasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Enam individu tersebut ialah pengerusi, setiausaha, bendahari yang masing-masing bergelar Datuk serta seorang anggota lembaga koperasi GLC dan isterinya yang merupakan penjawat awam selain seorang pemilik syarikat pembekal yang juga bergelar Datuk.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman hari ini mengeluarkan perintah reman sehingga 11 Jun ini bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan, tiga daripada enam indvidu tersebut menangis ketika merayu untuk memendekkan tempoh reman dengan memberikan alasan mempunyai masalah kesihatan dan juga ingin menyambut bulan Ramadan bersama keluarga.

Enam individu itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.45 pagi dan anggota keluarga yang menunggu kelihatan menangis sebaik melihat ketibaan enam individu terbabit.



Semalam, keenam-enam individu itu ditahan di sekitar Lembah Klang kerana disyaki memperdaya tidak kurang daripada 450 anggota koperasi di bawah naungan mereka, yang menghasilkan komisyen ratusan ribu ringgit bagi anggota-anggota lembaga berkenaan.

Dilaporkan bahawa anggota-anggota koperasi tidak mengetahui yang mereka meminjam dan kemudian melabur dalam syarikat MLM yang didaftarkan di bawah naungan ahli-ahli lembaga berkenaan.

Mereka juga disyaki menyalah guna kuasa dengan berpakat bersama seorang individu sebuah syarikat pembekal barang-barang keperluan pengguna bagi membolehkan koperasi berkenaan membeli dahulu barangan daripada syarikat pembekal sebelum menjualnya semula kepada syarikat pembekal yang sama.

SPRM menyatakan transaksi itu berlaku hanya di atas kertas sahaja apabila anggota koperasi mahu membeli barangan itu, mereka perlu membuat pinjaman koperasi dan syarikat pembekal akan menjual barangan kepada anggota berkenaan.

Kemudian, pihak pembekal akan mengeluarkan invois tuntutan bayaran kepada koperasi berkenaan.

SPRM juga menyatakan rasuah disyaki berlaku apabila syarikat pembekal menjual pada harga tinggi kepada koperasi dan syarikat itu menggunakan sebahagian daripada keuntungan untuk membayar kepada ahli-ahli lembaga koperasi yang terlibat.- BERNAMA