Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan negara paling obes di Asia Tenggara.

Berdasarkan laporan ‘Mengatasi Obesiti di Asean’ oleh Unit Perisikan Ekonomi, kadar obesiti di Malaysia adalah 13.3 peratus manakala peratusan rakyat yang memiliki berat badan berlebihan adalah 38.5 peratus.

Laporan tersebut merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Sekretariat Meja Bulat Inovasi Makanan bagi Memperbaiki Nutrisi Asia (Arofiin), Bruno Kistner yang membentangkan laporan tersebut berkata, kadar obesiti dan berat badan berlebihan telah menyebabkan Malaysia menanggung kos sebanyak RM4.26 bilion dan RM8.53 bilion tahun lepas.

Ini bersamaan dengan 10 hingga 19 peratus daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan Malaysia.

Laporan tersebut turut menunjukkan hanya satu pertiga daripada rakyat Malaysia dewasa pernah melakukan senaman manakala hanya 14 peratus yang mengamalkan senaman secara berkala.

“Antara faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah minat rakyat Malaysia terhadap makanan serta budaya melayan tetamu dengan menjamu pelbagai makanan masih kuat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Presiden Nutrition Society of Malaysia, Dr. Tee E. Siong berkata, penekanan terhadap kecemerlangan akademik telah menyebabkan jumlah jam serta kerja-kerja akademik dalam kalangan kanak-kanak semakin bertambah.

Ini menyebabkan mereka kurang melakukan aktiviti fizikal.

“Apa yang lebih kritikal, kebanyakan rakyat Malaysia melihat obesiti sebagai isu kosmetik berbanding isu kesihatan,” katanya.

Laporan tersebut menunjukkan kadar obesiti adalah berbeza bergantung kepada kaum, genetik, kawasan dan latar belakang ekonomi. – MalaysiaGazette