SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan seorang pegawai SPRM kerana disyaki meminta wang daripada anggota polis.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesalahan pegawai terbabit yang dilakukan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

“Perbuatan seumpama itu sama sekali tidak mewakili suruhanjaya yang sentiasa mendukung prinsip undang-undang dan Perlembagaan negara dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan,” kata kenyataan yang sama.

Ekoran kejadian tersebut, SPRM akan melakukan pemeriksaan dalaman yang tegas terhadap semua pegawai bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Pendirian SPRM tidak akan berganjak walaupun seinci sekiranya terdapat pegawai sendiri melakukan jenayah sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan yang mencemarkan reputasi dan nama baik SPRM.-MalaysiaGazette