KLUANG – Segelintir peniaga di Bazar Ramadan Bandar Kluang di sini ternyata tidak suka dengan kehadiran Ahli Parlimen kawasan itu, Liew Chin Tong apabila dia sekali lagi dihalang daripada mengedarkan kurma kepada orang ramai di situ.

Ia merupakan insiden kali kedua dihadapi Chin Tong selepas kali pertama berlaku pada 2014.

Video memaparkan insiden Pengerusi DAP Johor bersama kumpulannya itu dihalang kini viral di media sosial, kejadian dipercayai berlaku pada 5.45 petang semalam.

Difahamkan, susulan kejadian itu, Chin Tong, 39, dilaporkan membuat laporan polis kerana berlaku sedikit kekasaran apabila salah seorang ahli DAP dipercayai ditumbuk di bahagian dahi kiri oleh salah seorang lelaki, bagaimanapun tiada kerosakan lain berlaku.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kejadian itu dipercayai bermula apabila pengadu dan ahli pembangkang lain dihalang memberi sumbangan buah kurma kepada orang ramai.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan polis juga sudah mengenal pasti dua suspek terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Chin Tong dalam satu kenyataan berkata, beliau dan kumpulannya memulakan aktiviti mengedar kurma pada 5.45 petang semalam.

“Kami ucapkan terima kasih kepada urusetia bazar Ramadan yang menguruskan bahagian gerai menjual juadah makanan dan kuih-muih. Edaran kurma berjalan cukup rukun, mahabbah dan penuh semangat silaturahim,” katanya.

Namun, beliau kesal dengan apa yang berlaku di bazar Ramadan di bahagian menjual pakaian dan difahamkan urusetia yang menjaga kedua-dua bahagian adalah pihak berbeza.

Beliau mendakwa dikasari dan dihalau sekumpulan pemuda di mana salah seorang daripada mereka dipercayai terlibat menghalang mereka memasuki bazar sama pada tahun 2014. – MalaysiaGazette