Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz bercakap pada sidang media ketika hadir program Iftar @ KL di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Selepas mendapat gelaran ‘budak hingusan’ daripada Datuk Khairuddin Abu Hassan, kini giliran Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz menggelar Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq sebagai budak kecil yang bodoh dan gila.

Ia berikutan satu forum yang dirancang oleh pemimpin pemuda PPBM itu bagi mempertemukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan isu kekayaan yang dimiliki oleh kedua-dua negarawan tersebut.

“Dia (Syed Saddiq) tu budak bodoh, bila masa saya tarik diri? Saya tak faham kenapa polis tarik permit anjuran Mahathir di kawasan saya untuk menyerang PM, tanyalah polis.

“Saddiq budak kecil yang bodoh, tak perlu dengar (cakap) dialah.

“Saya nak beritahu Saddiq, sekiranya debat tersebut berjalan, saya nak tanya kepada Mahathir, dan dua minggu lepas juga saya tanya Mahathir tapi dia tak jawab, saya tanya Mahathir selama lima penggal PRU, berapa banyak wang dia kumpul?

“Najib saya tahu berapa dia kumpul, RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaunnya. Tapi Mahathir saya tidak tahu selama lima PRU berapa dia kumpul dan daripada siapa. Najib saya tahu daripada Saudi,” kata beliau.

Terdahulu, Syed Saddiq mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk berdialog dalam satu majlis ‘Nothing to Hide’ bersama Tun Mahathir berkenaan isu kekayaan peribadi dan isu-isu semasa. -MalaysiaGazette