Ayam Tempayan Kempas yang menggunakan resipi perapan istimewa yang dijual di Bazar Ramadan Plaza Angsana di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Resipi perapan keluarga yang menggunakan sembilan jenis rempah menjadi penarik pelanggan peniaga Ayam Tempayan Kempas di Bazar Ramadan Plaza Angsana di sini pada bulan puasa ini.

Peniaga Ayam Tempayan Kempas, Mohd. Zalani Mohd. Top, 52, selain rempah ratus, ayam tempayan itu turut menggunakan 10 bahan segar lain dan perlu diperap hampir 24 jam sebelum dibakar.

Tambahnya, perapan turun temurun yang diwarisi dari keluarga hanya disediakan setiap kali bulan Ramadan dan ayam tempayan itu juga disertakan dengan sos istimewa resipi keluarga.

Mohd. Zalani Mohd. Top menunjukkan hasil Ayam Tempayan Kempas diperap resipi istimewa yang dibakar menggunakan arang selama dua jam.

Beliau berkata, ayam tempayan yang dijual itu dibakar dalam tempayan tanah selama dua jam  menggunakan arang batu kerana ia mampu mengeluarkan satu aroma yang mampu menarik pelanggan.

“Dibakar dalam tempayan menggunakan resipi perapan tradisi keluarga dan disertakan dengan sos istimewa menjadikan Ayam Tempayan Kempas kami digemari pelanggan,” katanya di sini.

Sos istimewa bagi menikmati bersama Ayam Tempayan Kempas yang dibakar menggunakan arang.

Mohd. Zalani memberitahu, cara yang diguna pakai untuk membakar ayam itu bagi mendapatkan ayam yang lebih sedap, lembut serta enak dimakan.

Ayam Tempayan Kempas itu, katanya, dijual pada harga RM23 seekor dan RM13 separuh. – MalaysiaGazette