KUALA LUMPUR – Celcom Malaysia memohon maaf kepada semua pelanggannya ekoran satu gangguan teknikal yang berlaku hari ini.

Dalam satu kenyataan, Celcom berkata gangguan rangkaian itu bermula pada pukul 7:00 pagi dan telah menjejaskan panggilan masuk dan keluar negara.

“Pasukan teknikal kami telah menetapkan gangguan ini pada jam 9:30 pagi dan perkhidmatan di Semenanjung Malaysia sudah kembali normal, manakala Malaysia Timur akan pulih secara beransur-ansur dalam 1 jam seterusnya,” demikian menurut Celcom.

Gangguan itu menurut Celcom, adalah hasil daripada naik taraf rangkaian bermasalah.

“Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul. Terima kasih,” katanya.

Dalam pada itu, laman Facebook rasmi Celcom Malaysia ‘diserang’ oleh pengguna yang rata-rata berang dengan ketiadaan talian sehingga menyebabkan rutin seharian mereka tergendala.

Malah, hampir semua tempat mengalami masalah yang sama.

April lalu, Celcom telah menawarkan data percuma untuk aplikasi Facebook dan WhatsApp sebagai balasan kerana menghadapi gangguan untuk mengakses beberapa perkhidmatan selama seminggu. – MalaysiaGazette.