KUANTAN – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menafikan bangkai pesawat Hawk 108 yang terlibat dengan nahas pagi tadi telah dijumpai seperti yang tersebar di media sosial.

Beliau berkata operasi mencari pesawat malang itu masih lagi diteruskan di persekitaran kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu, lokasi mayat kedua-dua juruterbang ditemui.

“Yang tersebar di media sosial itu penemuan bangkai pesawat lama Aermacchi MB339C, jadi nasihat saya dalam keadaan kita berduka dengan tragedi ini jangan ambil kesempatan dengan sebar berita yang kurang elok.

“Jangan timbulkan sebarang spekulasi dan berita palsu yang boleh jejaskan emosi keluarga mangsa, hormati perasaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini petang ini.

Turut berada di unit forensik berkenaan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Dalam masa yang sama, Raja Mohamed Affandi menyifatkan pemergian ke rahmatullah Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dalam nahas pagi tadi merupakan satu kehilangan besar kepada ATM dan negara.

“Mereka merupakan juruterbang yang berpengalaman 19 tahun…satu kehilangan besar kepada ATM dan negara…saya terharu dalam keadaan bulan Ramadan, mereka masih ingin mengekalkan kompetensi yang tinggi.

“Saya berharap keluarga bersabar hadapi dugaan ini terutama pada waktu 10 hari terakhir Ramadan ini, dan kita akan bantu sebaik mungkin selain turut berkongsi kesedihan mereka,” katanya.

Menurutnya proses bedah siasat dijangka dilakukan pada 9 malam ini dan selepas itu jenazah kedua-dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu akan dibawa ke Masjid TUDM Kuantan untuk disembahyang.

Jenazah kedua-duanya dijangka diterbangkan ke Pangkalan TUDM Subang pagi esok sebelum dikebumikan di kampung masing-masing.

Jenazah Hasri dijangka dikebumikan di Felda Lui Muda Bandar Baru Jempol, Negeri Sembilan, manakala jenazah Yazmi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Titiwangsa, Kuala Lumpur.- BERNAMA