Mohammad Fuad Khusairi bercakap pada sidang media mengenai strategi PLUS hadapi pertambahan trafik pada musim perayaan Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, Subang. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2017

PETALING JAYA- Buat pertama kali PLUS menutup lorong tambah nilai di semua 134 plaza tol kendaliannya sempena Hari Raya Aidilfitri bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

Penutupan itu berkuatkuasa 22 Jun hingga 3 Julai ini.

Meskipun penutupan sementara itu dibuat, pengguna lebuh raya itu masih boleh menambah nilai kad di 9,200 lokasi.

Ia termasuk di mesin ATM, kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi berkata, langkah itu dilakukan kerana setiap transaksi di lorong tambah nilai mengambil masa selama tiga minit.

Sedangkan jika penutupan itu dilakukan setiap lorong Touch ‘n Go dapat digunakan 550 kenderaan dalam tempoh sejam.

“Penutupan ini sementara sahaja semasa waktu-waktu puncak pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam taklimat media di sini.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya PLUS diminta mempunyai baki kad yang mencukupi.

Pada masa sama PLUS juga akan memastikan sistem pengimbas Smart tag berfungsi dengan baik sepanjang tempoh berkenaan.

Laluan Smart tag boleh digunakan sebanyak 1,000 kenderaan dalam tempoh sejam. – MalaysiaGazette