Keadaan reban ayam yang terbakar.

JOHOR BAHRU – Kira-kira 74,000 ekor anak ayam mati apabila reban dua tingkat yang menempatkan anak ayam itu musnah dalam kebakaran di Mukim Tanjung Sembrong, Yong Peng, Batu Pahat pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kerugian yang dialami penternak ayam yang sudah menjalankan kerja tersebut selama 16 tahun dianggarkan berjumlah RM1 juta.

Menurut isteri penternak ayam itu, Lim Kee Yong, 49, kejadian disedari suaminya, Lim Swee Fong, 50, selepas terdengar jeritan daripada empat pekerja di ladang ayam berkenaan awal pagi ini.

Tambahnya, pekerja ladang tersebut memberitahu suaminya bahawa pemanas suhu di sebuah reban terjatuh dan dipercayai menyebabkan kebakaran di situ.

“Suami kemudian cuba tutup fius gas pemanas suhu reban ayam itu tapi dengan sekelip mata api mula marak dan membakar keseluruhan reban,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Mohd. Asroy Mohd. Yahaya berkata, maklumat berhubung kejadian itu dterima pihaknya kira-kira 7.40 pagi sebelum dua jentera dengan kekuatan 14 anggota tiba di lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, api telah pun marak membakar keseluruhan reban ayam dua tingkat tersebut sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada 8 pagi,” katanya. – MalaysiaGazett