JOHOR BAHRU – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan Benjamin Mora akan kembali memikul tugas sebagai Ketua Jurulatih JDT II.

Dengan Mora kembali ke JDT II, tugas jurulatih pasukan JDT akan dipikul Ismail Ibrahim dan Raul Longhi bagi mengharungi perlawanan akan datang.

Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards berkata, pihaknya akan mengumumkan ketua jurulatih baharu JDT tidak lama lagi.

“Kini Benjamin Mora akan kembali kepada peranan asal beliau selaki ketua jurulatih JDT II kerana beliau hebat dalam tugas menyediakan pemain muda untuk pasukan utama,” katanya di Facebook Johor Southern Tigers sebentar tadi.

Antara pemain muda yang dilihat menyerlah ialah, katanya, Fazly Mazlan, Dominic Tan, Afaiq Fazail dan Hadi Fayyadh.

Justeru, Kelab Bolasepak JDT merakamkan setinggi terima kasih kepada Mora atas segala kerja keras, dedikasi dan semua yang dilakukan beliau sepanjang menjaga kelab itu.

Tambahnya, beliau adalah seorang jurulatih muda yang berpotensi dan yakin Mora akan menjadi jurulatih yang lebih baik pada masa akan datang. – MalaysiaGazette.