Home Utama Pasukan khas siasat rompakan minyak kapal tangki Thailand

Pasukan khas siasat rompakan minyak kapal tangki Thailand

KUALA LUMPUR – Sebua pasukan khas telah ditubuhkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melakukan siasatan awal dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan kejadian rompakan rompakan minyak ke atas sebuah kapal tangki Thailand di 25 batu nautika di Timur Kuantan pada 23 Jun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkifili Abu Bakar mengesahkan ia merupakan beberapa langkah susulan sebagai tindakan pencegahan dan mengesan suspek.

“Maritim Malaysia telah berhubung dengan pihak berkuasa Thailand iaitu Pusat Penyelarasan dan Penguatkuasaan Thailand bagi mengkordinasikan siasatan, selain pasukan siasatan khas yang ditubuhkan kami.

“Memandangkan ini melibatkan jenayah rentas sempadan, Maritim Malaysia juga bekerjasama dengan penguat kuasa dari negara jiran yang lain seperti Angkatan Laut Armada Barat Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG).

“Melalui ini, kita dapat berkongsi maklumat dan risikan khususnya bagi mencegah insiden yang sama berulang serta dapat membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan tersebut di sini.

Tambah beliau lagi, sebagai langkah pencegahan Maritim Malaysia juga telah menggerakkan aset serta meningkatkan rondaan menggunakan kapal mahupun pesawat udara di kawasan titik panas.

Justeru katanya, rondaan berkenaan juga akan dibantu oleh rakan sekerja dalam negara termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Beliau juga percaya bahawa kejadian seumpama ini mampu diatasi dengan kerjasama daripada semua pihak.

Selain itu Indera Zulkifli turut menegaskan bahawa pihak perkapalan khususnya perlu mengambil langkah keselamatan yang lebih proaktif dalam menangani kejadian jenayah seperti ini dan berusaha melaporkan sebarang kejadian dengan cepat supaya Maritim Malaysia dapat menggerakkan aset ke lokasi kejadian dengan pantas.

“Dalam kes yang melibatkan CP 41 ini, Maritim Malaysia hanya menerima maklumat mengenai kejadian setelah hampir 21 jam insiden berlaku.

“Namun dengan pengalaman yang sedia ada dalam menyelesaikan kes seumpamanya di masa yang lalu, Maritim Malaysia yakin akan dapat mengatasi serta menyelesaikan insiden tegasnya lagi. – MalaysiaGazette