KUALA LUMPUR – Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai Pengawasan Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) terbaharu oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Kini, Malaysia dimasukan ke dalam kategori Tahap 2 laporan berkenaan.

“Kerajaan Malaysia telah menunjukkan peningkatan usaha berbanding tempoh laporan sebelum ini. Oleh itu, Malaysia dinaik taraf,” kata laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Menurut laporan itu, kerajaan telah meluaskan siasatan pemerdagangan, pendakwaan dan pertuduhan terhadap kes-kes tersebut.

Laporan itu menambah kerajaan telah memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang yang melarang pengekalan pasport dan 17 majikan untuk pengekalan pasport yang tidak dibenarkan, berbanding sifar pada tahun sebelumnya.

Ia turut menyebut bahawa kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas penguatkuasaan undang-undang antara agensi baru untuk merangsang operasi anti pemerdagangan yang diselaraskan, dengan 17 pegawai dari tujuh agensi ditugas dan dilatih dalam taktik penyiasatan.

Kerajaan juga telah meluluskan pelan tindakan kebangsaan yang dikemas kini merangkumi tahun 2016 hingga 2020 dan memperuntukan sumber yang mencukupi ke arah pelaksanaannya, tambah laporan itu.

Malaysia telah berada dalam senarai Tahap 2 sejak dua tahun lalu daripada Tahap 3 pada tahun 2015.

Tahap 2 membawa maksud negara terbabit tidak memenuhi kesemua minimum standard Tindakan Perlindungan Mangsa-Mangsa Pemerdagangan tetapi mengambil langkah signifikan untuk memenuhi standard berkenaan.

Bagaimanapun, laporan tersebut berkata, usaha untuk melindungi mangsa pemerdagangan manusia masih ‘tidak mencukupi’.

Meskipun wujud undang-undang baharu yang dilaksanakan dengan membenarkan mangsa di pusat perlindungan bergerak bebas dan hak untuk bekerja tetapi masih belum sempurna kerana birokrasi.

Laporan itu mengatakan Malaysia dianggap sebagai destinasi dan pada tahap yang lebih rendah, sebagai negara sumber transit untuk lelaki, wanita serta kanak-kanak yang tertakluk kepada buruh paksa.

Manakala wanita dan kanak-kanak pula yang terbabit dalam pemerdagangan seks. – MalaysiaGazette