Tun Faisal Ismail

KUALA LUMPUR – Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (DOJ) gagal membuktikan dakwaan ‘isteri Malaysian Official 1′ (MO1) menerima atau menyimpan set barangan kemas sebagaimana yang didakwa.

“Wajarkah desakan agar isteri MO1 memulangkan set barangan kemas yang didakwa diterimanya? Tiada sebarang bukti isteri MO1 menerima atau menyimpan set barangan kemas seperti yang didakwa oleh DOJ.

“Berbeza dengan Kerr yang memang terbukti menerima pemberian Jho Low tersebut dan dinamakan secara jelas dalam saman sivil DOJ.” katanya merujuk kepada tuduhan DOJ.

Katanya, tuduhan yang dibuat oleh DoJ itu hanya sekadar cerita rekaan dan tiada langsung bukti dikemukakan setakat ini.

Menurutnya, DOJ juga tidak menyenaraikan set barangan kemas itu sebagai aset yang mahu dirampas.

Malah, DoJ sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu berkenaan barangan kemas itu dan dakwaan terhadap isteri MO1.

“Seperti yang dinyatakan oleh DOJ sendiri, aduan melucut hak sivil hanyalah sekadar dakwaan yang menyebut bahawa terdapat wang atau harta yang terlibat atau merupakan hasil dari perlakuan jenayah.

“Dakwaan-dakwaan ini belum terbukti benar sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak menolak saman DoJ untuk merampas aset berkaitan 1MDB atas alasan tindakan undang-undang itu semata-mata berasaskan aduan oleh mereka yang menentang pentadbiran Najib.

Dua minggu lalu, DoJ memfailkan saman sivil ketiga yang mendakwa antara lain wang yang didakwa diselewengkan dari 1MDB telah digunakan untuk membeli 28 set barangan kemas, termasuk rantai berlian AS$27.3 juta untuk isteri MO1.

Terdahulu, model warga Australia, Miranda Kerr telah menyerahkan barangan kemas bernilai AS$8.1 juta yang disimpannya dalam kotak depositnya kepada ejen kerajaan Amerika Syarikat (AS). -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast