Home Ekonomi Eksport kayu getah mentah dihentikan 1 Julai

Eksport kayu getah mentah dihentikan 1 Julai

JOHOR BAHRU – Kerajaan akan menghentikan eksport kayu getah berkuatkuasa 1 Julai ini.

Keputusan itu telah diputuskan oleh Kabinet sebelum Hari Raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan itu bagi menangani kekurangan bahan mentah yang dihadapi oleh industri perabot tempatan.

Menurut beliau, kekurangan bahan mentah itu telah dikemukakan oleh Persatuan Perabot Muar dan Majlis Perabot Malaysia.

“Eksport kayu getah mentah yang bernilai antara RM200 juta hingga RM300 juta setahun ke Vietnam dan China telah menjejaskan industri perabot tempatan.

“Kita jual kayu mentah ke negara-negara terbabit untuk diproses dan mereka jual balik kepada kita. Oleh itu adalah lebih baik kita mengekalkan kayu mentah dan menambah nilai kepada industri negara, selain menangani kekurangan,” katanya pada majlis rumah terbuka DUN Permas yang dihoskan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – MalaysiaGazette