Limpahan air najis dari pada tangki kumbahan yang mencemarkan bau dan pemandangan di Blok A, Rumah Pangsa, Taman Cahaya, Ampang.

AMPANG – Kira-kira 100 orang penghuni Blok A, Rumah Pangsa Taman Cahaya, dekat sini menderita bau busuk selepas tangki najis melimpah keluar sejak dua bulan lalu.

Masalah itu berlarutan kerana rumah pangsa itu tidak mempunyai pejabat pengurusan penyelenggaraan kediaman tersebut.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, beberapa penduduk sudah membuat aduan kepada Indah Water Konsortium (IWK) tetapi masalah itu gagal diselesaikan kerana kerja-kerja pembersihan tangki najis itu melibatkan kos sebanyak RM800.

“Saya sendiri pada awalnya menelefon syarikat swasta yang boleh membersihkan tangki najis tetapi kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM6,000. Saya hubungi IWK pula, syarikat itu minta RM800.

“Masalahnya sekarang siapa yang mahu tanggung jumlah caj yang dikenakan. Kalau hendak kutip daripada setiap rumah, mungkin ambil masa, itu pun kalau ada yang mahu beri kerjasama bayar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ahmad berkata, rumah pangsa itu mempunyai persatuan penduduk tetapi tidak aktif, malah langsung tidak peduli masalah yang berlaku.

Paling derita adalah penduduk yang tinggal di tingkat bawah dan rumah yang terletak bersebelahan dengan tangki najis.

“Bau jangan cakap memang meloyakan. Saya cuma khuatir jika tidak dibersihkan ia akan mendatangkan masalah kesihatan yang lain,” ujarnya.

Limpahan najis yang terkeluar itu bukan sahaja mengotorkan jalan raya tetapi juga menganggu petak letak kereta penduduk.

Menurut beliau, setakat ini beberapa penduduk yang mengambil berat tentang keadaan itu berusaha untuk mengutip sejumlah wang yang dikenakan oleh IWK.

Bagaimanapun, jika usaha itu tidak berhasil, penduduk akan cuba mendapatkan bantuan daripada parti-parti politik pula.

“Walaupun ini masalah penduduk setempat tetapi bukan semua orang peduli. Kalau peduli tidaklah ia berlarutan sampai hari ini.

“Atau jalan terakhir penduduk terpaksa minta bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Cempaka iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad. Kalau beliau tidak boleh bantu, kami cuba untuk dapatkan bantuan UMNO pula,” ujarnya. – MalaysiaGazette