Gambar fail

JASIN – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggesa pengguna di negara ini untuk menggunakan santan sawit sebagai alternatif kepada santan kelapa di samping meningkatkan penggunaan kelapa sawit di Malaysia.

Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, secara umumnya kebanyakan makanan di Malaysia dan rantau Asia menggunakan santan kelapa dan ia menyebabkan kekurangan bekalan kerana tidak diuruskan dengan betul.

Ahmad berkata, MPOB menjalankan pelbagai kajian dan ujian berterusan menggunakan santan sawit untuk menghasilkan dodol, cendol, nasil lemak dan pelbagai.

“Inisiatif ini dilaksanakan bukan untuk menghentikan penggantungan terhadap kelapa terutamanya santan tetapi memberikan pilihan kepada pengguna.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada satu-satu produk sahaja kerana ia akan menyebabkan kekurangan bekalan dan kita juga perlu mendapatkan bekalan daripada negara-negara luar terutamanya ketika musim perayaan,” katanya kepada pemberita di sini.

Tambah Ahmad, penggunaan santan sawit secara meluas dapat membantu meningkatkan ekonomi lebih 600,000 pekebun kecil di negara ini dan dalam masa yang sama mampu mengawal harga santan kelapa di dalam pasaran.

Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar nutrisi MPOB, santan sawit mempunyai 50 peratus lemak tepu berbanding 92 peratus di dalam santan kelapa selain memiliki kolestrol yang lebih rendah dan bagus untuk kesihatan.

Sementara itu, menurut Ahmad, pengeluaran kelapa sawit di negara ini adalah kira-kira 20 juta tan setahun tetapi penggunaan domestiknya adalah sekitar 10 peratus sahaja.

MPOB melaksanakan pelbagai perubahan di dalam mencipta teknologi untuk menghasilkan santan sawit berkualiti dan tahan lama serta boleh dikomersialkan dengan meluas.-MalaysiaGazette