Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berucap pada Majlis Anugerah Kontinjen Dan Daerah Terbaik Op Selamat 11/2017 sempena Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumbalas pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai penangkapan warga Malaysia bersama 100 kilogram jongkong emas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM telah memohon kerjasama itu namun belum mendapat respon.

“Jepun belum lagi memaklumkan atau memberi laporan kepada kita setakat hari ini walaupun saya telah mengemukakan permohonan melalui Interpol dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini.

Sebelum itu, portal berita Jepun Today pada Isnin lalu melaporkan mengenai penahanan 10 warga Malaysia oleh pihak berkuasa Jepun yang cuba menyeludup lebih 100 kilogram jongkong emas nilai dianggarkan lebih RM500 juta yen (RM19.1 juta).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada April lalu melalui hasil pemeriksaan pihak kastam negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka apabila ia disembunyikan dalam baju.

Laporan itu mendakwa mereka membawa emas itu gagal mengikuti peraturan yang ditetapkan mengisytiharkan emas itu melanggar undang-undang kastam negara itu.

Beliau terdahulu telah menyampaikan Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 11/2017 Sempena hari Raya Aidilfitri 2017 di Dewan Theatrette di sini hari ini.

Tambah Khalid, pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan warga Malaysia pada Isnin lalu setelah perkara itu dihebahkan dalam media di negara itu.

Katanya, polis mengharapkan pihak berkuasa Jepun segera memberi laporan.

“Begitu juga Kementerian Luar dapat mendesak  Jepun memberi kerjasama segera menyerahkan laporan itu kepada PDRM.

“Saya harap dia maklumbalas cepat, kalau tidak jangan cakap sebarangan. Dia (Jepun) buat hebahan rakyat Malaysia terlibat tetapi minta laporan terperinci dia tidak mahu berikan dan sengaja melambatkan kita.

“Kalau betul dakwaan itu(bawa emas berlebihan) kita nak juga jalankan siasatan di sebelah sini dan PDRM sentiasa berhubung dengan polis di sana mendapatkan perkembangan terbaharu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette