Dr Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Ibu bapa di negara ini dinasihatkan agar meneliti keperluan semasa anak-anak mereka menuntut ilmu agama, iaitu bagaimana ilmu tersebut dipraktik dalam kehidupan seharian.

Justeru, sebelum menghantar anak-anak ke sekolah agama atau tafiz, ibu-bapa terlebih dahulu perlu memahami dan memikirkan secara seimbang keperluan cabaran semasa, tulis Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di akaun Facebooknya hari ini.

“Ibubapa hendaklah sedar, bahawa anak-anak kita membesar dan akan hidup di era ini. Era yang penuh dengan cabaran terhadap agama dan menuntut kemampuan memahami teks dalam konteks yang betul. Justeru itu, pendidikan agama yang baik hendaklah diseimbangkan dengan keperluan cabaran masa kini.

“Demikian, amat penting untuk difahami bahawa menjadi ilmuwan agama bukan sekadar menghafal nas dan bernasyid semata, tetapi hendaklah mampu memahami apa yang dihafal dan dapat menghuraikan makna Islam selaras dengan tuntutan semasa,” katanya.

Tegas Asri, ibu bapa juga perlu sedar bahawa ilmu untuk mencari rezeki juga merupakan perkara yang penting diajarkan kepada anak-anak selain hafalan ilmu agama semata-mata.

Oleh itu, ibu bapa perlu lebih selektif dalam membuat pilihan bagi menghantar anak-anak ke sekolah agama bagi mendapat ilmu serta kemahiran hidup yang tinggi bagi menghadapi cabaran masa kini.

Ini kerana menurutnya, tidak semua tenaga pengajar di sekolah agama yang mempunyai kualiti yang tinggi bagi melahirkan pelajar yang mampu menggunakan ilmu agama yang dipelajari dalam keadaan semasa.

“Ibubapa hendaklah tahu bahawa bukan semua yang dipanggil ustaz itu baik kualiti bahasa Arab dan bagus pengetahuan agamanya. Lebih daripada itu, gelaran ustaz bukan jaminan kemaksuman seseorang sehingga kita boleh mempercayai segala yang dia beritahu tanpa penelitian dan siasatan. Maka, langkah berwaspada untuk masa depan anak-anak kita adalah sesuatu yang dituntut.

“Terdapat sekolah tahfiz dan agama swasta yang baik, mengikut peraturan dan berkualiti. Ini dapat diukur dengan banyak ciri, antaranya kualiti kelulusan guru-guru yang mengajar, sukatan pelajaran dan persekitaran pembelajaran. Secara umumnya, sekolah-sekolah agama ataupun tahfiz di bawah Kementerian Pendidikan diurus tadbir dengan baik di sudut kualiti pelajaran,” tambahnya.

Asri turut menjelaskan terdapat sekolah agama dan tahfiz diwujudkan tanpa keperluan yang sepatutnya malah ada di kalangan mereka turut mempunyai pelbagai tujuan peribadi.

Dedahnya, terdapat sekolah agama dan tahfiz yang ditubuhkan semata-mata untuk mengutip derma dan sumbangan sehingga pemiliknya hidup dalam keadaan mewah.

“Ada ustaz dia sendiri dahulunya gagal dalam pendidikan, akhirnya membuka sekolah sendiri tanpa memiliki sijil ataupun latihan pendidikan yang sepadan. Apatah lagi untuk memiliki diploma atau sijil perguruan. Akhirnya, mereka menjadi tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu dalam bidang pendidikan dan kaedah ataupun pedagogi pengajaran.

“Lebih dukacita lagi, ada yang menggunakan pelajar untuk mengutip derma sehingga kita lihat, anak-anak tahfiz di lebuh raya, kedai makan, pasaraya dan seumpamanya untuk mengutip wang daripada orang ramai.

“Dukacita, akhirnya yang menjadi mangsa ialah ibu bapa dan anak-anak muslim yang ingin mencari ilmu agama tetapi tersalah tempat kerana ‘sangkaan’ baik kepada pusat-pusat tahfiz ataupun sekolah agama yang sedang tumbuh bagaikan cendawan ini,” -MalaysiaGazette