Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Liang Teck Meng (dua kiri) menunjukkan surat pada sidang akhbar berkaitan isu semasa di Pulau Pinang di Ibu Pejabar PGRM, Menara PGRM 1, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Parti Ge­rakan menuntut permohonan maaf daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam tempoh tiga hari bermula hari ini selain berdepan saman kerana menfitnah parti itu dan bekas presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Setiausaha Agungnya, Datuk Liang Teck Meng berkata, Guan Eng perlu memohon maaf secara rasmi dan tanpa syarat kepada Gerakan melalui satu sidang media.

Beliau berkata, pihaknya cukup yakin bahawa parti itu memiliki kedudukan dan bukti yang kukuh dalam tuntutan itu dan Gerakan sedia menunggu jawapan daripada Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

“Kami telah berjaya mengumpul bukti-bukti yang kukuh dan menyeluruh yang menunjukkan Guan Eng telah banyak kali memfitnah Gerakan dan bekas presiden kami sejak tahun 2012 sehingga kini dan beliau perlu bertanggungjawab ke atas tindakannya itu.

“Beliau dan pemimpin-pemimpin DAP yang lain sering memfitnah Gerakan dalam isu penjualan tanah terutama apabila mereka dikritik kerana menjual tanah dan aset kerajaan negeri Pulau Pinang yang kini mencecah nilai berbilion ringgit.

“Sebaliknya Gerakan memiliki bukti bahawa DAP yang sebenarnya banyak jual tanah dan saya ada fakta tersebut serta hingga kini mereka tidak menjawab tentang perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Gerakan di Ibu Pejabat parti itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Teck Meng memberitahu keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Guan Eng itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan pada 17 Jun lalu.

Beliau menjelaskan, Guan Eng didapati telah berulang kali kenyataan bersifat memfitnah dengan mendakwa Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Gerakan di bawah Tsu Koon merangkap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang telah menjual tanah penambakan di Tanjung Tokong (Sri Tanjung Pinang) kepada pemaju pada tahun 1990-an dengan harga RM1 kaki persegi untuk keluasan 980 ekar bernilai RM42.7 juta.

“Kami telah berbincang dengan para pemimpin dan ahli-ahli parti serta mendapatkan pandangan professional daripada peguam parti dan kami akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi mempertahankan nama baik, imej dan kepentingan parti serta Tsu Koon.

“Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng telah menyebabkan Gerakan dan Tsu Koon menjadi mangsa sindiran atas dakwaan beliau yang tidak berasas, tidak tepat dan bersifat memfitnah.

“Kami ingin menegaskan mengikut fakta sebenar yang merupakan perjanjian konsesi penambakan tanah yang diberikan pada tahun 1992 tidak wujud sama sekali jualan tanah Tanjung Pinang sebagaimana yang didakwa oleh Guan Eng.

“Dengan itu, kami mempunyai sebab yang kukuh dan munasabah untuk mempercayai dakwaan Guan Eng dibuat atas niat tidak baik dan terancang.

“Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan jelas berniat jahat untuk memburuk-burukkan reputasi Gerakan dan Tsu Koon,” katanya. – MalaysiaGazette