Presiden Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK), Datuk Zul Azhari Mohamed Juah (tengah) menunjukkan bukti-bukti bagi Suruhanjaya Penjegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap Yayasan Selangor di Pejabat SPRM, Shah Alam, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2017.

SHAH ALAM – Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penglibatan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berhubung hutang syarikat milik Ketua Cabang PKR Ampang, Abdul Latif Shaari sebanyak RM233,000 terhadap Yayasan Selangor.

Pengerusinya, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah menggesa siasatan kemungkinan ada salah guna kuasa oleh Zuraida ekoran Yayasan Selangor merupakan badan yang berkaitan dengan kepentingan awam.

“Saya ke SPRM hari ini mengenai jika terdapat penyalahgunaan kuasa oleh Zuraida dalam hal ini. Saya minta supaya Zuraida boleh menjawab kenapa dia boleh mewakili syarikat milik Ketua Cabang PKR Ampang untuk menyelesaikan hutang dengan Yayasan Selangor.

“Kami mendapati bahawa ada unsur-unsur penyelewengan kuasa namun semuanya tertakluk kepada siasatan SPRM,” katanya dalam sidang media di pejabat SPRM Selangor hari ini.

Tambah Zul Azhari, antara sebab pihaknya tampil membuat laporan tersebut juga berikutan satu ‘dokumen’ berkenaan kronologi perjanjian antara syarikat milik pemimpin PKR itu, Tremendous Progress Sdn. Bhd bersama Yayasan Selangor.

Semalam, Zuraida melalui laporan BeritaDaily mengatakan dokumen yang diterima oleh IMPAK merupakan surat layang semata-mata.

Namun, Zul Azhari hari ini menyerahkan kepada Yayasan Selangor tentang ketulenan surat layang atau dokumen tersebut. – MalaysiaGazette.