KUALA LUMPUR – Affin Holdings Berhad (Affin) mendapat kelulusan dari Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia untuk meneruskan Cadangan Penyusunan Semula yang melibatkan pemindahan keseluruhan pegangan dalam syarikat-syarikatnya yang secara kolektif adalah Kumpulan Affin kepada Affin Bank Bhd.

Menurut satu kenyataan di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, penyusunan semula itu melibatkan pemindahan pegangan dalam Affin Hwang Investment Bank Bhd., Affin Moneybrokers Sdn. Bhd., AXA Affin Life Insurance Bhd. dan AXA Affin General Insurance Bhd.

Affin juga telah menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk penukaran Pemegang saham utama AFFIN Hwang IB, AFFIN Hwang Asset Management Berhad dan Asset AIIMAN Management Sdn Bhd mengikut Cadangan Penyusunan Semula tersebut.

Ia kini sedang mendapatkan kelulusan badan pengawalselia berkaitan yang lain untuk meneruskan Cadangan Penyusunan semula tersebut.

“Memandangkan perubahan dinamik ekonomi dan industri, adalah penting untuk kami meletakkan strategi yang bertumpu pada kecekapan, kesesuaian dan tahap produktiviti yang betul untuk berkembang maju dalam membezakan Kumpulan Affin daripada yang lain.

“Cadangan Penyusunan Semula ini akan meningkatkan sinergi Kumpulan AFFIN untuk membolehkan kami bergerak maju ke hadapan untuk fasa pertumbuhan yang seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette